KUALA LUMPUR: Kewujudan ladang pokok ketum di kawasan pedalaman, ladang getah dan hutan sekitar Perak dan Kedah, dikenal pasti menjadi sumber utama bekalan daun ketum yang diseludup secara besar-besaran ke negara jiran, Thailand.

Sumber Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berkata, ladang skala besar ini dimiliki sindiket atau individu yang mampu menjana keuntungan sehingga ratusan ribu ringgit sebulan.

Menurutnya, keuntungan tinggi ini mampu diperoleh berikutan permintaan tinggi dari sindiket di Thailand yang sanggup membayar sehingga RM100 bagi setiap sekilogram daun ketum diseludup.

Harga ditawarkan ini jauh lebih menarik, berbanding harga sekitar RM10 hingga RM35 sekilogram untuk pasaran tempatan

“Kewujudan ladang ini dibuktikan apabila Pasukan Penguatkuasaan Utama Tindakan Taktikal Khas dan Siasatan (STRIKE) AADK sebelum ini pernah menemui ladang pokok ketum di Changkat Lada, Kampung Gajah, Sungai Siput Utara, Seberang Perak, Teluk Intan, Kampung Titi Tampang di Perak selain ladang ketum di Padang Besar, Padang Terap, Kedah dan beberapa lokasi di Perlis,” katanya.

Sementara itu, Pengarah (Penguatkuasaan dan Keselamatan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah, yang dihubungi mengakui pihaknya sebelum ini pernah menemui ladang ketum tersembunyi ketika operasi dijalankan.

Menurutnya, penemuan itu akan dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kami turut mengumpul profil maklumat ladang ketum dijumpai serta memantau tindakan yang diambil terhadap ladang ketum ini,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, AADK tidak menguatkuasakan Akta Racun 1952 bagi mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki daun ketum atau air ketum.

“Dalam operasi bersepadu atau operasi AADK, kesalahan memiliki daun ketum atau air ketum akan diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan.

“Operasi dilakukan AADK Daerah atau Pasukan STRIKE terhadap penagih dadah, sering kali kami dapat mengesan penyalahgunaan air ketum dalam kalangan penagih dadah,” katanya.

Menurutnya, jika penagih dadah didapati positif dadah, AADK akan mengambil tindakan mengikut seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Bagi penagih dadahyang negatif saringan dadah atau penagih air ketum sahaja, pihak AADK akan merekod maklumat mereka serta meletakkan mereka dalam program intervensi awal di PejabatAADK atau di Pusat Perkhidmatan, Rawatan dan Pemulihan (CCSC),” katanya.

Kewujudan ladang ketum di negara ini turut dikaitkan dengan beberapa siri rampasan besar, antaranya kejayaan pihak polis Sempadan dan Pejabat Perhutanan di selatan Thailand merampas 1.1 tan daun ketum di kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran negeri Perlis pada 1 Mac lalu.

Daun ketum itu dipercayai diseludup masuk ke Thailand dari Perlis menggunakan laluan tikus di Bukit Khao Nam Khan yang bersempadan dengan negeri utara Malaysia.

Malah pada hari sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui anggota Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (RRD), turut merampas 810 kilogram daun ketum bernilai RM76,950 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran berhampiran Pos Sahara, Durian Burung, Kedah – berita harian