KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diingatkan tidak menindas dan membuli usahawan Melayu lebih-lebih lagi yang telah menyumbang kepada projek pembangunan ibu kota.

Penolong Pengurus Seagate Global Trading Sdn Bhd, Zaidzul Akmar Norjali berkata, pihaknya ditindas apabila bayaran projek pembekalan bahan binaan bagi pembangunan semula Bulatan Dato’ Onn masih tertunggak sejak 2016.

“Pada 2016, kami diberi mandat untuk menghantar bahan binaan berupa besi di tapak projek.

“Kini bahan binaan kami telah digunakan di sini (Bulatan Dato’ Onn). Kita peniaga macam biasa akan hantar invois kepada DBKL, tapi tidak dilayan,” katanya pada sidang media di Bulatan Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Seagate Global merupakan syarikat pembekalan bahan binaan yang diberi kontrak pembekalan kepada kontraktor pembinaan DBKL sejak 5 tahun lepas.

Dalam kes pembekalan bahan binaan untuk pembangunan semula Bulatan Dato’ Onn, Seagate Global telah membekalkan bahan binaan berupa besi untuk pembinaan jambatan bernilai RM3.6 juta.

Zaidzul Akmar juga berkata, selepas invois tuntutan bayaran tidak dilayan, pihaknya telah menghantar surat notis kepada DBKL melalui peguam syarikat.

“Tanpa pengetahuan kami, bahan binaan itu telah dipindahkan juga.

“Lantaran kita kami telah membuat laporan polis dan SPRM, namun sehingga kini tiada tangkapan dibuat.

“Ini kerana bahan binaan itu dipindahkan secara haram tanpa keizinan kami, sedangkan bayaran tidak dibuat,” katanya.

Susulan keengganan DBKL melunaskan bayaran, pihaknya telah menyaman DBKL dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan penghakiman pada Mei 2019.

“Dalam penghakiman itu, Mahkamah Tinggi telah berpihak kepada kami.

“Malangnya kami masih belum dapat bayaran daripada DBKL,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidzul Akmar turut mengakui bahawa projek pembekalan bahan binaan itu diterima pihak ketika pentadbiran kerajaan lama.

“Setakat ini kami belum membuat susulan kepada pengurusan baharu DBKL selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

“Siapalah kami nak panjat sampai ke atas dan sebab itu kami mahu meneruskan tuntutan pembekalan itu di mahkamah,” katanya.

– MalaysiaGazette