KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan elit dan mewah di Jalan Kampung Pandan di sini, yang beroperasi secara haram sejak lapan bulan lalu, diserbu tengah malam semalam.

Operasi Bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermula jam 12.05 tengah malam hingga jam 5 pagi tadi, membabitkan kerjasama Polis Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Premis DBKL, Ahmad Tarmizi Baharom, berkata premis itu yang diberikan notis pembatalan lesen pada Januari lalu dan kini dalam proses membuat rayuan untuk membatalkan notis itu, didapati masih meneruskan operasi.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya menyita premis berkenaan dan mengeluarkan arahan supaya ditutup selepas pemiliknya berdegil meneruskan kegiatan hiburan mereka.

“Jabatan Imigresen turut menahan dua lelaki dan dua wanita warga China kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala KDRM merampas 18 karton minuman keras pelbagai jenama,” katanya selepas operasi berkenaan awal pagi semalam.

Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan ke atas pusat hiburan itu bagi memastikan pemilik premis akur arahan berkenaan.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan ke atas dua pusat karoke (KTV) di Jalan Imbi di sini, seramai 13 pelayan wanita atau GRO serta lima pelanggan lelaki ditahan oleh JAWI kerana dikesan minum minuman keras.

Ketika serbuan ke atas kedua-dua premis itu yang terletak di tingkat bawah dan tingkat 2, sebahagian besar pelanggan dan pekerja cuba melarikan diri menggunakan laluan kecemasan.

Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 19 akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WPKL) 1997 – berita harian