IPOH 8 April – Perak kini pada peringkat draf terakhir untuk meminda serta menambah baik Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas kajian teliti mengenainya dibuat.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pihaknya turut menjemput Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memperhalusi perkataan-perkataan yang digunakan supaya bertepatan dengan Bahasa Melayu.

“Kita juga menjemput Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad; bekas Speaker DUN, Datuk Seri S.K. Devamany; Dewan Belia Perak, ahli akademik, peguam-peguam serta wakil Parlimen untuk mengkaji menambahbaikan yang akan dibuat.

“Beberapa mesyuarat telah diadakan dan disebabkan proses ini memakan masa agak panjang, kita jangka ia akan dibentangkan pada sesi Julai akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, pada peringkat terakhir, pihaknya juga akan mendapatkan ulasan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum ia dibentangkan dalam Sidang DUN. – UTUSAN ONLINE