TELUK INTAN: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz diingatkan beliau akan membawa kepentingan serta nama baik kerajaan dan Barisan Nasional (BN) ketika berdebat bersama bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed pada 7 April ini sama ada beliau mahu ataupun tidak.

Justeru itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memberitahu Mohamed Nazri perlu lebih bersedia dan hanya berdebat mengenai dasar kerajaan serta elakkan daripada berdebat mengenai isu serta pandangan peribadinya.

“Saya nasihatkan beliau sebagai sahabat, dia berdebat walaupun atas sifat perbadi bukan mewakili UMNO atau BN, tapi akhirnya mahu atau tidak kerajaan yang akan mendapat kesan daripada debat itu.

“Kalau debat itu positif, jadi ianya akan memberi kesan yang positif, tetapi sekiranya ianya membawa kesan negatif, maka kerajaan yang akan menanggungnya, saya selaku menteri juga akan tanggung,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerjanya di sini pada Khamis.

Tambah beliau, walaupun Mohamed Nazri sebelum ini mengakui hanya mewakili diri sendiri namun perdebatan itu sebenarnya bakal memberi impak yang amat besar kepada masyarakat dalam cara mereka melihat kerajaan dan pembangkang.

“Saya minta beliau tumpukan kepada agenda masyarakat, dasar kerajaan dan parti BN. Jangan masukkan pandangan peribadi kerana ianya boleh mengundang persepsi negatif masyarakat kepada kita.

“Ingat debat itu bukan untuk kita menghentam satu sama lain tetapi platform untuk kita beritahu rakyat apa yang kerajaan telah buat untuk mereka, apa UMNO telah buat serta BN telah buat,” jelas beliau.