IPOH: Debat antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang dijadual pada 25 Mac ini bermula jam 3 petang tetap akan diteruskan.

Nazri yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau telahpun mengarahkan Setiausaha UMNO Bahagian Padang Rengas bagi membantu pihak penganjur untuk mendapatkan permit mengadakan perdebatan itu.

“Ini tidak ada kena mengena dengan isu tidak boleh menggunakan sekolah untuk aktiviti di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana kita bukan hendak mengadakan demonstrasi.

“Yang kita tidak boleh guna sekolah ini adalah apabila hendak mengadakan demonstrasi di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan yang kita hendak adakan adalah perdebatan dan oleh kerana itu saya rasa Dewan MRSM Sultan Azlan Shah ini boleh digunakan untuk perdebatan pada 25 Mac ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Pra Sejarah Peramg Dunia Kedia (Battle Of Kampar) di Kampar pada Jumaat.

lawatan-nazri 4

Hadir sama Exco Pelancongan Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashiling Mohamed Radzi.

Sehubungan itu, Nazri meminta ahli UMNO, ahli komponen parti Barisan Nasional (BN) dan penyokong kerajaan supaya tidak hadir pada perdebatan itu nanti dan memberikan peluang kepada pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Padang Rengas untuk menghadirinya.

“Cuma saya hendak minta kepada ahli UMNO dan juga penyokong kerajaan tidak payah datang di perdebatan itu sebab mereka sudah tahu apa yang saya hendak cakap, jadi saya minta pembangkang datang memenuhi dewan itu nanti, ini permintaan saya,’’ katanya.

Menurut laporan media hari ini, pihak polis belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana mana pihak mengenai perhimpunan perdebatan antara Tun Mahathir dan Nazri Aziz yang dikatakan bakal berlangsung pada 25 Mac depan di Padang Rengas.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan menerusi satu kenyataannya berkata, tiada permohonan untuk berhimpun dibuat kepada pihaknya.

“Sekiranya ia berlangsung tanpa kebenaran polis, maka perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram.

“Ianya menjadi satu kesalahan dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Menurut beliau, Ia diperuntukan mengikut Jadual Pertama Seksyen 3 Akta Perhimpunan Haram 2012, sekolah termasuk dalam Jadual tersebut.

“Sekiranya berlangsung di tempat berkenaan maka pihak polis boleh mengambil tindakan ke atas mana mana orang kerana berhimpun di tempat larangan dan tanpa kebenaran dibawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” ujarnya.

Hasnan berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat sentiasa berada di dalam keadaan aman dan damai.