Oleh:Nazialita Geynna Maharan

LUMUT: Berdedikasi, amanah dan tegas dalam etika kerja merupakan prinsip utama Datuk Abdul Aziz Mohd Yusuf yang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah 1439 Peringkat Negeri Perak,di sini hari ini.

Mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, itu berkata beliau percaya yakin bahawa sifat prihatin kepada pekerja bawahan serta bersikap adil kepada semua peringkat lapisan dalam organisasi merupakan amalan yang wajar dipraktikkan oleh semua pihak.

Abdul Aziz, 72 yang kini masih melaksanakan tugas sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syarie turut berpesan untuk sentiasa melakukan yang terbaik dalam apa sahaja yang dilakukan.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri Perak di atas pemilihan ini, kerana tidak disangka jasa dan perkhidmatan saya yang mungkin tidak seberapa masih dikenang dan dihargai lagi.

“Selagi hayat dikandung badan, hingga akhir nafas saya, saya akan kekal memberikan khidmat selagi saya diperlukan, “kata anak jati kelahiran Kg Jeliang, Manong, Kuala Kangsar kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Maal Hijrah yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.

Datuk kepada 16 cucu ini berkata beliau berharap agar peranannya dalam Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak akan dapat membantu berdasarkan pengalaman selama 37 tahun beliau dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menerima Tokoh ar-Ridzuan dan kedua-dua tokoh tersebut dipilih berdasarkan sumbangan tidak berbelah bahagi kepada perundangan dan pembangunan Islam negeri.

Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000, pakej umrah bernilai RM7,000, sijil, medal dan hadiah iringan.

Dalam majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik kepada Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta dan Anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan Terbaik kepada Tanah Perkuburan Islam Kampung Chabang Lima, Jalan Ketoyong, Tanjung Malim.

Manakala penerima anugerah terbaru iaitu Anugerah Pengurusan Hamam Terbaik disampaikan baginda kepada Masjid Al-Adli, Jalan Raja Muda Musa, Pekan Lumut.

Kesemua mereka menerima plak dan hadiah wang tunai bernilai RM5,000 oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.