KUALA LUMPUR – Pihak Kementerian Pengangkutan tidak membenarkan perkhidmatan teksi motosikal ‘Dego Ride’ beroperasi adalah atas faktor keselamatan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Abdul Aziz Kaprawi berkata, berdasarkan statistik 2016 lebih kurang 62 peratus daripada 7,152 jiwa yang terkorban di atas jalan raya adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Penggunaan Dego Ride akan mengakibatkan lebih ramai pengguna jalan raya terdedah kepada risiko kemalangan maut dan cedera parah.

“Oleh itu berdasarkan asas keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal maka Kementerian Pengangkutan telah memutuskan untuk tidak membenarkan Dego Ride beroperasi di jalan raya,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah – Parit Buntar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, ulasnya lagi, berdasarkan analisa yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Moris) risiko pengguna motosikal untuk terlibat dalam kemalangan adalah tinggi dan membabitkan cedera parah iaitu kadarnya 42.5 kali, lebih tinggi daripada bas dan 16 kali lebih tinggi daripada kereta.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan kementerian tetap dengan keputusan mengharamkan perkhidmatan Dego Ride berikutan isu keselamatan penumpang.

Tiong Lai berkata, perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas namun ia juga membawa kemudaratan kerana berdasarkan statistik, penunggang motosikal menyumbang kira-kira 62 peratus kepada kemalangan maut pada tahun lepas.

-SinarHarian