BILA sebut tentang gaharu atau nama saintifiknya Aquilaria malaccensis ramai yang membayangkan wangian sebagai sumber utama, namun tahukah anda bahawa pokok bernilai tinggi ini boleh menghasilkan pelbagai produk termasuk makanan.

Bagi anda yang masih samar-samar dengan fungsi pokok ini dan berminat untuk mencari maklumat pada yang pakar, Tambak D’Village boleh merungkai semua persoalan berkaitan Gaharu.

Bertempat di Kampung Tambak, Slim River, Tambak D’Village yang beroperasi di bawah Kumpulan Syarikat Al-Hilmi diibaratkan seperti sebuah penempatan yang menawarkan suasana perkampungan lengkap dengan pakej agropelancongan.

IMG_2249-minMenurut Pengurus Besar Tambak D’Village, Ahmad Amiruddin Al-Hilmi Ahmad Faris, kewujudan tempat itu tidak bermotifkan keuntungan semata-mata memandangkan tujuan utamanya untuk memberi pendedahan kepada pengunjung terhadap industri pertanian dan penternakan.

“Abah saya yang juga pemilik dan pengasas Tambak D’Village, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim mahu orang ramai merasai pengalaman bermalam di dusun buah-buahan dengan penginapan rumah buluh yang dibina sendiri oleh masyarakat Orang Asli di sini.

“Di sini tiada istilah hotel lima bintang atau tiga bintang, suasananya betul-betul kampung dan pengunjung berpeluang untuk mengetahui sejarah pokok gaharu dan getah, nak cuba toreh getah pun kami ajarkan.

“Kalau musim buah-buahan tambah lagi durian kampung dan Musang King yang ditanam di sini memang kami akan jamu pada pengunjung dan sedekahkan kepada orang-orang kampung” katanya.

Gaharu Pokok ‘Mewah’

Suara Perak berpeluang melihat sendiri bagaimana gaharu terhasil dengan penerangan dari Penyelia Ladang Agro, Badrul Hisham Hussain yang bertanggungjawab memberi pendedahan berbentuk pendidikan.

“Gaharu terhasil dengan dicederakan pokoknya, kalau semulajadi melalui panahan kilat atau dipatahkan oleh Gajah, tetapi untuk cara tanaman kita dapatkan hasilnya dengan proses Inokulasi (proses memasukkan mikroorganisma atau serum terjangkit dalam tisu hidup).

IMG_2220-min“Pokok akan ditoreh dan dikorek apabila nampak warna kehitaman maknanya ia sudah menghasilkan minyak dan dari situ kita akan kaji kualitinya, sebatang pokok boleh mencecah puluhan ribu ringgit,” jelas Badrul.

Ujar Badrul, banyak produk yang boleh dimanfaatkan dari gaharu seperti minyak wangi, teh, colok, ubat nyamuk, barangan kosmetik termasuk biskut yang dihasilkan melalui daunnya.

Setakat ini Kumpulan Syarikat Al-Hilmi berjaya mengeluarkan produk wangian dan kosmetik yang merangkumi gincu serta pembersih muka.

“Minyak gaharu bila mula-mula sapu memang keluar bau tak menyenangkan tapi lama-lama orang yang hidu akan bau wangi,”katanya.

Nikmati Nasi Buluh di Rumah Buluh

Hidangan signature Slim River iaitu nasi buluh juga disediakan kepada anda yang datang secara berkumpulan, nasi yang dihidangkan bersama masak lemak pucuk paku, kari ikan dan sayur kacang botol begitu menyelerakan.

Keunikan rumah buluh yang semulajadi redup dan dingin melengkapkan kesinambungan percutian berasaskan alam semulajadi.

Bagi anda yang merancang percutian dialu-alukan untuk berkunjung ke Tambak D’Village, ia juga sesuai buat syarikat-syarikat korporat yang mahu lari dari kebiasaan dengan menganjurkan team building di sini.

Sebarang pertanyaan berhubung pakej boleh hubungi 05-4520050 atau layari laman Facebook: Tambak D’Village.