KUALA LUMPUR: Kontraktor yang gagal membaiki dengan sempurna sebarang kerja pengorekan jalan awam bakal berdepan hukuman denda sehingga RM100,000.

Peningkatan denda sebanyak 100 kali ganda menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 itu diluluskan selepas dibahas oleh 18 ahli Parlimen dan dibacakan kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff serta mendapat sokongan sebulat suara.

Pindaan lain turut mencakupi peningkatan denda minimum daripada RM500 kepada RM50,000 bagi kesalahan mengambil tempat turap tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi penguat kuasa yang sah di sisi undang-undang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata usaha memperkukuhkan akta itu mendapat sokongan daripada kerajaan negeri, sama ada ditadbir pembangkang atau kerajaan, yang bersetuju mengangkat pindaan berkenaan seiring usaha memartabat kualiti jalan demi manfaat pengguna.

“Peruntukan kos bagi melaksanakan kajian geoteknikal dan siasatan berkala, seperti diperuntukkan dalam pindaan akta ini pula akan ditanggung pemaju, bukan PBT seperti mana dibimbangi segelintir pihak.

“Pegawai yang akan mengendalikan kajian dan siasatan berkala itu pula bukan dari PBT, sebaliknya perlu dilakukan pemaju serta disahkan jurutera bertauliah yang bebas,” katanya ketika menggulung pembentangan RUU berkenaan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Zuraida ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua berkata, cadangan menaikkan kadar denda itu dibuat selepas mendapati denda sedia ada sebanyak RM1,000 dilihat tidak berkesan sebagai langkah pencegahan.

“Banyak aduan berkenaan pengorekan, kerosakan dan kualiti pembaikan jalan, antaranya berpunca daripada kerja penyelenggaraan jalan oleh individu atau syarikat utiliti tanpa kelulusan PBT,” katanya.

Selain jalan awam, Zuraida berkata denda itu akan terpakai bagi kesalahan merosakkan siar kaki, harta kepunyaan PBT, kaki lima atau di sepanjang laluan yang berhak digunakan orang awam.

Katanya, pindaan terhadap Seksyen 39 akta berkenaan membabitkan cadangan menaikkan denda minimum RM500 sedia ada kepada RM50,000 bagi kesalahan mengambil tempat turap tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada PBT atau kuasa lain yang sah di sisi undang-undang.

“Pindaan itu mencadangkan supaya kuasa diberi kepada PBT untuk mengarahkan seseorang membetulkan semula apa-apa perubahan terhadap kerja penurapan dan tapak jalan awam, termasuk pagar dan tiang-tiangnya, selain melaksanakan pembaikan bagi kerosakan yang dilakukan pada mana-mana jalan, siar kaki atau jalan kaki lima.

“Jika orang itu tidak berbuat demikian, PBT sendiri boleh mengarahkan supaya kerja itu dilakukan dan menuntut kos dan belanjanya daripada orang berkenaan,” katanya.

Zuraida berkata, pindaan juga akan menjadikan satu keperluan kepada mana-mana individu untuk mengemukakan laporan geoteknikal yang ditentu sah oleh pemeriksa bertauliah bagi apa-apa binaan bangunan membabitkan lereng dengan tahap kecerunan 25 darjah dan ketinggian 10 meter – berita harian