ALOR SETAR: Kerajaan negeri memutuskan denda bagi Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan: Mai Daftar Nikah 2018 adalah RM300 sekali gus membolehkan prosesnya berjalan lancar tanpa membebankan kewangan peserta, bermula 1 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata mesyuarat kerajaan negeri hari ini sebulat suara meluluskan penganjuran program terbabit yang menekankan usaha melindungi hak isteri dan anak supaya masa depan keluarga dan pendidikan mereka tidak terjejas.

Katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memberi sokongan penuh bagi memastikan tiada rakyat Kedah yang dinafikan hak dalam keluarga dan pemilikan kad pengenalan bagi anak.

“Mesyuarat terbabit yang dihadiri semua EXCO menyokong denda hanya RM300 bagi pasangan yang berkahwin sebelum 2018 manakala bagi setiap pasangan yang mempunyai dokumen lengkap, prosesnya hanya mengambil masa 100 hari sahaja.

“Ia diyakini mampu menyelesaikan masalah yang sekian lama berlaku dalam kalangan rakyat negeri ini hingga menjejaskan masa depas isteri dan anak yang mahu melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat EXCO yang dipengerusikan Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mohd Rawi berkata, semua persedian untuk program selama enam bulan itu sudah dilakukan, malah semua pejabat agama dan jabatan agama sudah berada dalam siapsiaga bagi memudahkan proses pendaftaran peserta program ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, program ini bukan bertujuan menggalakkan orang ramai berkahwin atau berpoligami di sempadan tetapi mahu pastikan mereka yang sudah lama berkahwin tetapi gagal mendaftar, dapat mendaftar secara mudah.

“Ia juga boleh menyebabkan anak mereka menghadapi masalah dari sudut pendidikan, nafkah, isu kesihatan dan kewarganegaraan.

“Semua agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK), Jabatan Kehakiman Syariah Kedah, Penasihat Undang-Undang Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen, Pejabat Konsul Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri sudah bersedia menjayakan program ini.

“Apa yang penting, pasangan yang mahu menyertai program ini diminta hadir ke mana-mana pejabat agama dan membawa dokumen berkaitan bagi membolehkan proses pemutihan dilakukan,” katanya.

Dua minggu lalu, NSTP melaporkan lebih 10,000 isteri dan 30,000 anak Kedah mampu menarik nafas lega apabila mereka akan diiktiraf hak masing-masing dalam Program Pemutihan Nikah Rentas Sempadan: Mai Daftar Nikah yang dianjurkan selama enam bulan, bermula 1 April ini.

Penyelaras program terbabit, Mohd Nor Azim Abd Razak, berkata Kedah akan menjadi negeri ketiga yang berusaha membantu pasangan Islam dan mereka yang mempunyai anak untuk mendapatkan hak selepas Pahang dan Selangor.

“Usaha ini diyakini mampu menyelesaikan masalah Anak Tidak Sah Taraf (ATST) ATST yang pada asasnya berlaku apabila ibu bapa mereka yang bernikah di luar negara tetapi gagal mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat, bolehlah menghubungi Mohd Nor Azim di talian 019-5259486 – berita harian