LUBUK MERBAU: Dendam kesumat Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah berpaksikan kepada prinsip yang kononnya diperjuangkannya selama ini, sebaliknya kerana anak kesayangannya, Boboy.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan, kerana anaknya itulah Dr Mahathir sanggup duduk bersekongkol dengan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang sangat dibencinya dahulu.

“Dendam kesumat yang ada pada Tun M bukannya soal prinsip yang dia perjuangkan selama ini, tetapi kerana apa? Kerana Boboy anak dia,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di Dewan Millenium di sini, hari ini.

Mohamed Nazri Aziz berkata, kerana Boboy jugalah, sehingga kini, Tun M menghalakan tumpuannya untuk menghasut ahli UMNO selain mencipta rasa kurang percaya Perdana Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri.

“Selama ini, dia (Tun M) menaruh harapan untuk melihat warisan kepimpinannya diteruskan menerusi anak kesayangannya, Boboy (Mukhriz).

“Namun dia kecewa kerana nampak anak dia naik turun depan mata, jadi dendam kepada Datuk Seri Najib itu semakin bertambah.

“Pokoknya dia mahu jatuhkan Perdana Menteri dengan cara apa sekalipun. Sebab itu dia sanggup duduk dengan Kit Siang, dengan Anwar, dan tipu lagi kerana Boboy,” ujarnya.

Mohamed Nazri menambah, tuduhan yang dilemparkan kononnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah mengadakan pertemuan dengan Tun M bagi menjatuhkan Perdana Menteri adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

“Tiga tahun ini, dia cuba bermacam-macam cara untuk menyerang (Najib) tetapi tidak berjaya. Sekarang dia mahu menimbulkan kesangsian terhadap Ahmad Zahid pula,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri menjelaskan, satu-satunya cara untuk UMNO membersihkan nama pucuk pimpinan parti adalah dengan memenangi Pilihan Raya Umum akan datang.