IPOH – Jabatan kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran agar tidak takut mengambil pendekatan undang-undang terhadap mana-mana pemilik kediaman yang gagal menyelenggara kawasan mereka hingga berlakunya pembiakan nyamuk.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, pendekatan seumpama itu perlu untuk dijadikan pengajaran memandangkan berlakunya peningkatan kes demam denggi hampir setiap tahun.

“Apabila notis yang dihantar diabaikan, langkah kedua kita boleh gunakan adalah failkan saman di mahkamah, minta deklarasi untuk menyita rumah atau bangunan terlibat.

“Kita lakukan ini untuk kepentingan awam agar pemilik-pemilik lain menjadi lebih bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, peruntukan undang-undang bagi tujuan berkenaan sudah ada, namun tidak digunakan hingga ke peringkat mahkamah.

“Tidak perlu takut dengan kemungkinan kalah di mahkamah kerana sekurang-kurangnya bila menang kes, ia boleh menjadi rujukan untuk kes-kes sama yang lain,” katanya.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes demam denggi, faktor utama yang dikesan adalah disebabkan penyelenggaran kawasan kediaman yang tidak memuaskan.

Katanya, selain sistem perparitan dan pengurusan sampah yang lemah, unit-unit rumah ditinggalkan juga menyumbang kepada tempat pembiakan aedes yang tinggi.

“Siasatan kita di daerah Manjung, ada perkampungan nelayan dengan hampir 300 rumah tidak mempunyai sistem perparitan yang teratur, barangan lama terbiar serta bot dan sampan yang tidak digunakan menjadi tempat takungan.

“Di Taiping pula, sebuah kawasan perumahan pangsa dikesan langsung tidak mempunyai tong sampah, bayangkan dengan empat blok bangunan, mereka dengan sesuka hati membuang sampah.

“Kita percaya masalah sama turut berlaku di kawasan penempatan daerah lain,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemui pada program Gotong-royong Mega 1.0 peringkat negeri Perak di Taman Silibin, Jelapang yang turut dihadiri Pegawai Kesihatan Daerah Kinta, Dr Asmah Zainal Abidin – sinar harian