IPOH: Situasi demam denggi di negeri Perak bagi tempoh 35 hari pertama tahun ini menunjukkan jumlah membimbangkan apabila mencatatkan 673 kes seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, daripada jumlah itu, tiga telah dilaporkan maut, sedangkan tiada kes kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau memberitahu, dari 1 Januari hingga 4 Febuari tahun ini, Perak telah mencatatkan peningkatan kes sebanyak 6.3 peratus berbanding tahun lalu.

“Demam denggi ini lazimnya mengikut trend, dia akan naik tinggi kemudian dia akan turun semula, kita khuatir sekiranya berdasarkan trend sekarang, wabak ini akan naik semula meninggi,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Majlis Jawatankuasa Tindakan X-Aedes di Ipoh pada Isnin.

Justeru itu, kata beliau, jawatankuasa tersebut telah merangka pelan untuk membasmi wabak tersebut, khususnya di kawasan hotspot dan wabak tidak terkawal secara habis-habisan sebelum ianya menjadi lebih teruk.

Tambah beliau, orang awam juga perlu mengambil bahagian bersama-sama pihak berkuasa memastikan wabak berkenaan dapat dikawal.

”Saya ingin sarankan orang ramai supaya tolong pastikan kebersihan persekitaran kita yang biasanya menjadi punca utama pembiakan Aedes ini, kita perlu betul-betul cuci dan bersihkan.

“Ini kerana telur Aedes mampu bertahan dari 4 hingga 5 bulan walaupun dalam keadaan kering atau panas terik..jika terkena air dia akan menetas dan dari situ mulanya wabak denggi ini,” ujar beliau.

Setakat ini, daerah Kinta mencatatkan kes demam denggi yang paling tinggi di Perak iaitu sejumlah 444 kes diikuti dengan Kampar 35 kes dan Hilir Perak 35 kes.

Di dearah Kinta terdapat lima hotspot denggi yang telah dikenal pasti iaitu Bandar Lahat Baru, Pasir Pinji, Taman Shatin, Taman Sin Far, Rapat Setia dan Taman Boon Bak.