Oleh: Aida Aziz
SIAPA sangka fungsi karbait yang sebelum ini banyak digunakan untuk memeram buah-buahan sehingga masak, boleh menjadi bahan utama menghasilkan dentuman meriam, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Karbait atau kalsium karbida merupakan satu sebatian kimia, ia tidak berwarna dan dalam keadaan tulen tetapi kebanyakan sampel kelihatan berwarna hitam sehinggalah ketulan putih kekelabuan, bergantung kepada gred.
Kata orang, tidak meriah suasana Hari Raya jika tiada bunyi dentuman meriam buluh, tanah atau besi bagi meraikan perayaan yang disambut setahun sekali.
Begitu juga suasana saban tahun di Kampung Ribu, yang terletak kira-kira 13 kilometer dari bandar Diraja Kuala Kangsar, dalam bulan Ramadan ini kebanyakan daripada mereka akan meredah belukar sekitar kampung untuk persiapan malam tujuh likur.
Menurut koordinator panjut dan meriam Kampung Ribu, Khairul Jamel Khamis, kumpulan belia bersepakat membawa keluar meriam besi yang selama ini hanya dimainkan di kebun-kebun dan pinggir rumah.
“Aktiviti meriam dan panjut sudah menjadi tradisi setiap tahun di Kampung Ribu, malah kami bersepakat dan bergotong-royong untuk pastikan ia berlangsung dengan lancar.
“Apa yang pasti, kemeriahan yang dirasai dengan dentuman dan cahaya dari panjut menyinari kawasan kampung. Untuk meriam pula kami akan pastikan aspek keselamatan terjamin,” katanya kepada Suara Perak.
Jelasnya, hanya golongan dewasa yang dibenarkan bermain meriam dengan pemantauan ketat untuk memastikan tiada insiden buruk berlaku kepada pemain dan orang ramai.
Empat Jenis Meriam
Menurut Khairul, bahan utama untuk meriam buluh atau besi semestinya karbait dan air, malah penggunaan karbait yang dahulunya untuk memeram buah-buahan diadaptasi kepada permainan meriam.
“Kalau dulu karbait harga sekilo RM 2 tapi sekarang dah meningkat kepada RM 7, karbait sifatnya panas dan selalu digunakan untuk peram pisang atau betik, dalam dua hari diletakkan dalam bungkusan, akan masak.
“Sebab itu ia digunakan dalam meriam, kerana jika dicampurkan dengan air, ia akan bertindak balas menyebabkannya menggelegak dan meletup,” katanya.
Jelasnya, terdapat empat jenis meriam yang sering dimainkan iaitu meriam buluh, meriam besi, meriam tanah dan meriam tin.
“Kebiasaannya meriam besi lebih mahal berbanding buluh, tetapi meriam besi lebih sedap dan padat bunyi dentumannya, kami dapatkan dari kedai-kedai besi yang ada di sekitar Kuala Kangsar.
“Meriam tanah pula sedikit mencabar disebabkan hanya mereka yang pakar sahaja boleh membuat lubang mengikut kedalaman, kemudian masukkan karbait, dentumannya terasa macam gempa.
“Meriam tin selalunya dimainkan oleh budak-budak, kurang bahayanya, caranya gunakan tin besar milo atau lain-lain, kemudian masukkan karbait, konsepnya semua sama sahaja,” kata Khairul.
Tradisi Yang Tidak Akan Terhakis
Bagi tahun-tahun lalu, tiga batang meriam besi disediakan bagi mengiringi persiapan pesta panjut yang memasuki penyertaan bagi musim kedua.
“Kira-kira 400 batang buluh ditumbangkan untuk menyediakan 62 batang tiang, 124 gelegar, 248 tetupai dan lebih 3,000 batang paku buluh.
“Sebanyak 2,400 pelita tin dihasilkan bagi, bentuk panjut pula menyerupai Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan Masjid Kristal, Kuala Terengganu,” ujarnya.
Kumpul Warga Kampung Ribu Selepas Terawih
Dalam pada itu, tujuan utama aktiviti tersebut dijalankan adalah untuk mengumpulkan warga Kampung Ribu selepas solat sunat Tarawih, di samping mewujudkan suasana ceria dan meriah.
“Itulah sebenarnya yang tersirat di sebalik penat lelah membina menara panjut dan meriam di Kampung Ribu sebelum ini, kini yang dewasa dan veteran hanya mampu berharap agar anak-anak remaja yang ada turut memiliki semangat bermasyarakat.
“Yang pastinya, tanggal 27 Ramadan tahun ini, dentuman meriam besi akan kedengaran lagi di sini,” kata Khairul.