ALOR SETAR: Polis menahan seorang tukang besi berusia 34 tahun selepas disyaki mendera anak lelakinya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) menggunakan besi panas di rumah mereka di Kampung Rambai Padang, Pendang, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid, berkata pihaknya menerima laporan kejadian selepas guru sekolah kanak-kanak berusia sembilan tahun itu mendapati ada kesan lebam di muka serta kesan melecur di kedua-dua tapak kaki mangsa.

“Guru mangsa ternampak kanak-kanak itu datang ke sekolah dengan kesan lebam di muka dan apabila ditanya, mangsa memberitahu bahawa dia ditumbuk oleh bapanya.

“Pemeriksaan selanjutnya oleh guru berkenaan terhadap kanak-kanak itu mendapati terdapat kesan melecur di kedua-dua belah tapak kaki mangsa akibat terkena besi panas,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, guru berkenaan mengesyaki kanak-kanak itu didera oleh bapanya sebelum membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Pendang lalu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan.

“Polis kemudian menahan bapa mangsa di rumah mereka jam 4.30 petang hari ini dan berdasarkan siasatan awal, kita mendapati mangsa adalah seorang OKU yang mengalami masalah pembelajaran.

“Pemeriksaan di hospital mendapati terdapat kesan melecur di kedua-dua bahagian tapak kaki dan bengkak di bahagian mata sebelah kiri, …mangsa kini masih trauma selepas kejadian itu.

“Kita juga akan soal siasat ibu mangsa dan beberapa individu bagi membantu siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.-Berita Harian