MELAKA:  Bapa enam anak berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan mendera anak tiri lelaki berusia 12 tahun dua minggu lalu.

Tertuduh, Hafizan Hassan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya mangsa dengan menumbuk bahagian muka, memukul badan dan memijak kepala hingga menyebabkan muka serta belakang badan kanak-kanak itu lebam.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh jam 12 tengah hari di sebuah rumah di Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 3 November 2017.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban mencadangkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Bela Ishak Kari merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung enam anak dengan lima daripadanya masih bersekolah serta isteri tidak bekerja.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma kemudian menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan jaminan ditarik semula jika tertuduh cuba mendekati mangsa hingga kes selesai.