Kuala Lumpur: Seramai 56 pelarian Rohingya terdiri 36 dewasa dan 20 kanak-kanak yang baru tiba di negara ini ditahan di Depot Imigresen Tahanan Belantik, Sik, Kedah.

Mereka diberi bantuan kecemasan dan perubatan oleh Malaysia Relief Agency (MRA) cawangan Negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Menurut satu kenyataan daripada Setiausaha Agung MRA, Dr Shahrizal Azwan Samsudin, pelarian itu tiba di Langkawi dengan menaiki bot kayu selepas bergadai nyawa merempuh perjalanan laut selama 23 hari dari Rakhine, Myanmar.

Kata Dr Shahrizal, misi bantuan itu diketuai Pengerusi MRA Kedah, Dr Mohd Saifullah Al Hany Abd Halim, disertai 16 petugas termasuk empat doktor perubatan, empat jururawat dan seorang jurubahasa Rohingya.

“Dari sudut bantuan perubatan, MRA sudah melaksanakan pemeriksaan saringan kesihatan, memberikan rawatan perubatan dan memberikan vaksinasi bagi mengelakkan jangkitan.

“Pemeriksaan kesihatan mendapati kebanyakan pelarian Rohingya berada dalam keadaan malnutrisi, lesu, dehidrasi dan dijangkiti penyakit salur pernafasan.

“Selain itu, terdapat juga penyakit jangkitan kulit seperti scabies (kudis buta), jangkitan kulat dan jangkitan kutu rambut akibat kurang penjagaan kebersihan,” katanya.

Jelas beliau lagi, bagi meningkat keperluan nutrisi mereka, MRA mengagihkan multivitamin kepada setiap orang dan pek susu tepung untuk kanak-kanak – hmetro