IPOH: Bukan sekali dua, tetapi tujuh kali.

Itulah bilangan pembedahan yang terpaksa dilalui Muhammad Aqil Khairin Mohamad Shakirin, 17 dalam tempoh enam bulan berikutan jangkitan kuman dalam otak yang dihidapinya.

Bagaimanapun, bapa kepada pelajar SMK Sultan Yusof, Batu Gajah itu, Mohamad Shakirin Abdul Rahman tidak pernah berputus asa untuk terus berharap agar anak sulungnya itu kembali sembuh sepenuhnya.

Shakirin, reda dengan keadaan kesihatan yang menimpa anaknya malah memilih untuk tabah walaupun dimaklumkan bahawa doktor belum dapat mengenal pasti punca sebenar jangkitan kuman dalam otak anak lelaki sulungnya.

“Aqil seorang anak yang banyak berceloteh, ceria, periang dan peramah, malah guru-gurunya sentiasa memberitahu bahawa dia merupakan seorang pelajar yang taat dan patuh kepada arahan guru.

“Namun, semuanya berubah sekelip mata apabila Aqil mengadu sakit sering sakit kepala. Sakitnya berpanjangan selama tiga minggu sebelum satu hari dia menggelupur kesakitan dan pengsan. Kami kejarkan Aqil ke Hospital Batu Gajah sebelum di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan kecemasan sekitar Julai lepas.

“Saya sendiri seakan tidak percaya apabila doktor mengesahkan dia mengalami jangkitan kuman di otak membabitkan kerosakan serius di beberapa bahagian saraf utama. Sehingga kini, Muhammad Aqil menjalani tujuh kali pembedahan di kepala bagi mengeluarkan nanah terkumpul,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Halaman Pengkalan Sentosa, Lahat di sini pada petang Jumaat.

Muhammad Aqil adalah pelajar Sekolah Menengah Sultan Yusof, Batu Gajah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada penghujung tahun ini.

“Saya berharap ada pihak tampil membantu bagi menampung kos perubatan anak saya,” katanya.

Sumbangan bantuan boleh dihulurkan menerusi akaun MayBank 158275037879 Fairull Hayati Khairul Anuwar (isteri Mohamad Shakirin) atau terus ke alamat No 15, Laluan Sentosa, 3, Halaman Pengkalan Sentosa, 31500 Lahat, Perak.