Batu Gajah: Seorang wanita terpaksa menahan sakit lebih dua jam selepas paku sepanjang dua inci tercucuk ke tapak tangan kanan ketika menjalankan kerja penyambungan palet di rumahnya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa, R Puveneswary, 36, dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Mohd Isa Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan daripada hospital pada jam 2.03 petang meminta bantuan untuk mengeluarkan paku berkenaan dari tangan mangsa.

“Anggota bomba memotong bahagian kepala paku berkenaan menggunakan playar sebelum menariknya perlahan-lahan ke bawah hingga paku itu berjaya dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, proses mengeluarkan paku berkenaan mengambil masa kira-kira 10 minit dan operasi tamat pada jam 2.19 petang.

-hmetro