IPOH – Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan desas-desus yang tersebar kononnya di Perak bakal berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di media sosial ketika ini hanya khabar angin ibarat mimpi di siang hari yang disebarkan oleh pihak pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak itu berkata, perkara tersebut tidak akan terjadi kerana kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (HP) ketika ini berada dalam keadaan kukuh dan rakyat juga gembira dengan keimpinan baru sedia ada.

“Ini hanya satu bentuk khabar angin oleh pihak-pihak tertentu kerana mereka (pembangkang) merasakan kehilangan kuasa ini satu tragedi, satu kekecewaan yang teramat sangat jadi bagi melegakan rasa kekecewaan itu mereka sebarkan berita-berita begini.

“Namun hakikat sebenarnya, rakyat di Perak ini cukup-cukup gembira dengan kerajaan baru, mereka yang mengundi mahukan perubahan, saya sendiri boleh sahkan tidak wujud suasana yang akan membolehkan PRN berlaku di negeri ini,” katanya ketika ditemui Suara Perak pada Rabu.

Tambah beliau, kepimpinan PH di Perak ketika ini juga mendapat sokongan yang amat kuat daripada golongan kakitangan kerajaan negeri dan agensi-agensi dibawahnya dipimpin oleh Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu untuk memperbaiki semula negeri ini.

“Kami sebagai satu pasukan beriltizam untuk memenuhi perkara-perkara yang banyak mengecewakan rakyat Perak sebelum ini.

“Kita komited untuk jadikan Perak ini sebagai antara negeri terbaik, kita akan kembalikan zaman kegemilangan negeri tercinta ini, itu fokus kita,” ujar beliau.

Ditanya jika cadangan untuk memberi hak milik kekal tanah kepada kampung tersusun, peneroka felda dan juga Kampung baharu merupakan antara sebab desas-desus itu timbul, Mohammad Nizar berkata ia adah perkara yang tidak adil jika ia benar itu merupakan faktor khabar angin tersebut disebarkan.

“Tidak adil saya rasa kalau itu alasannya untuk katakan kerajaan negeri lemah, banyak lagi aspek yang perlu mereka lihat, ini menguntungkan rakyat secara keseluruhnnya, bukan sesuatu bangsa sahaja malah isu itu juga sudah diselesaikan,” kata beliau.