Oleh: Aida Aziz

BERUAS: Lupakanlah niat baik anda untuk membantu mangsa kemalangan yang terbaring kaku di Jalan Batu Hampar – Pantai Remis berdekatan Matang Acheh, lebih-lebih lagi apabila waktu melewati 12 tengah malam.

Bukan kejam jauh sekali berhati kering, ada sebab mengapa selekoh yang sinonim dengan gelaran “Selekoh Penyamun” itu digeruni di malam hari.

Menurut penduduk kampung berdekatan, gelaran itu diberi kerana helah penyamun yang berlakon seolah-seolah pengsan di tengah-tengah jalan itu sebelum menyamun mangsa.

Helah penjenayah ini sedikit sebanyak mengundang rasa takut kepada pengguna jalan raya yang seringkali melalui selekoh itu.

Pengsan Sebelum Samun

Ini bukan cerita dongeng, jauh sekali rekaan orang ramai memandangkan penduduk di sekitar kawasan Beruas dan Kampung Padang Serai sedar akan bahaya yang menanti mereka yang mudah terpedaya.

Mariani Abdul Rani, 47, dari Kampung Padang Serai adalah antara individu yang tahu kisah selekoh itu, tambahan pula rakannya pernah disamun ketika baru pulang dari tempat kerja di Pasaraya Billion Pantai Remis pada waktu malam.

Modus operandi yang dijalankan adalah dengan menendang motosikal mangsa sampai jatuh atau terlentang di selekoh itu sehingga ada yang datang membantu.

“Orang di sini memang panggil jalan itu sebagai selekoh penyamun disebabkan ramai orang yang sudah terkena dengan penipuan mereka,” katanya.

Elak Termakan Umpan

“Saya sendiri pun pernah nampak ada lelaki terlentang dengan motor terbalik, takut memanglah takut tapi saya buat tak tahu saja dan teruskan perjalanan tambah pula saya berseorangan ketika itu.

“Rakan saya pernah disamun dengan niat mahu bantu lelaki yang kononnya kemalangan, tiba-tiba muncul dua orang lelaki dari dalam semak sambil memaksa dia keluarkan semua wang dan jam tangan ,” ujar Mariani ketika menceritakan kembali kisah malang rakannya.

Waspada Dan Sebar Maklumat Melalui Whatsapp.

Bagi Gee Ramia, 38, dari Pengkalan Baharu Di sini, insiden yang berlaku di kawasan itu berlegar-legar dari mulut ke mulut, bahkan dia juga menerima pesanan dari aplikasi Whatsapp yang meminta orang ramai berjaga-jaga di selekoh tersebut.

“Kawasan itu memang menakutkan di waktu pagi-pagi subuh dan malam, saya juga risaukan keselamatan suami yang berulang-alik ke tempat kerja di SK Gangga, Beruas.

“Kalau boleh kami mahu lebih banyak lampu dipasang di situ, sudahlah tiada langsung kawasan rumah yang berdekatan. Faktor gelap dan sunyi jadi punca kenapa kejadian itu berleluasa.

“Saya selalu pesan pada suami atau kawan-kawan, kalau melalui tempat itu jangan berhentikan kenderaan walau apa pun yang mereka nampak,” ujar Gee kepada Suara Perak.