IPOH: Ahli Dewan Belia Negeri Perak membentangkan tujuh usul mewakili jawatankuasa masing-masing pada Persidangan dewan itu yang bermula pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kualiti usul yang dibentangkan oleh para perwakilan juga dilihat semakin baik dan menepati standard yang ditetapkan.

“Jawatankuasa membentangkan tujuh usul masing-masing yang sangat relevan. Harapan saya agar usul yang dinamik ini akhirnya diluluskan dan dibawa ke peringkat kerajaan negeri serta Persekutuan.

“Kita juga mempunyai 31 orang ahli Dewan Belia baru yang dipilih bagi penggal 2018/2019. Mereka hadir di dalam dewan pada hari ini untuk menyaksikan bagaimana rakan-rakan mereka membentang usul.

“Ini merupakan satu orientasi baik untuk mereka menyesuaikan diri nanti. Kita juga gembira kerana ada kesinambungan ahli Dewan Belia dengan 11 ahli sekarang terpilih atau dilantik terus bagi sesi akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pembukaan Persidangan Dewan Belia Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Antara usul yang dibentang adalah “Membangunkan Secara Inklusif Bidang Agro Pelancongan dan Perniagaan Food Truck di Negeri Perak”, “Pemerkasaan Penyertaan Digital Wanita ke Arah Pembangunan Masyarakat Digital Yang Cemerlang”

Dewan juga diperdengarkan usul yang menyentuh “Memperkasa Identiti Belia Perak: Kesedaran dan Penghayatan Terhadap Seni Warisan dan Budaya” dan “Bahasa Melayu Kejatidirian Bangsa Malaysia: Memperkasakan Melalui PBT”.

Selain itu, turut dibentangkan ialah usul yang bertajuk “Kesedaran dan Mendidik Rakyat Dalam Industri Revolusi 4.0 Seiring Dengan Matlamat Malaysia Pada Tahun 2020 Untuk Menguasai Industri Di Asia”, “Perak Negeri Beraih 2025: Ke Arah Pengurusan Efektif dan Penyelesaian Inklusif” serta “Mendidik Dalam Menghukum Ke Arah Sifar Buli Di Sekolah”.