IPOH: Ahli Dewan Belia Perak hari ini menyelar tindakan pihak pembangkang yang mengatakan mereka seolah-olah bermain wayang tanpa sebarang isu penting yang diketengahkan dalam persidangan.

Yang Dipertua Dewan DUN Belia Perak, Salbiah Mohamed berkata, komen negatif pihak pembangkang itu adalah tidak masuk akal kerana suara-suara anak muda sebenarnya memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Perak.

Katanya, suara-suara sinis mempersendakan Dewan Belia yang telah bersidang selama dua kali itu, sebenarnya tidak memahami, kerana tidak mengikuti perkembangan serta lontaran idea kritikal yang telah dibawa ke dalam persidangan itu.

“Saya sendiri mengikuti perbahasan mereka, dan sepatutnya pembangkang berbangga bahawa kerajaan negeri telah berjaya menyediakan platform khusus bagi anak muda dan menyuarakan suara mereka.

“Mereka datang dari pelbagai latar belakang dan berada di sini tanpa sebarang fahaman politik, justeru segala idea yang dikeluarkan bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya membawa isu dan permasalahan bagi generasi muda di dalam dewan ini secara neutral,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Media pada hari ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri ke-13 pada Khamis.

Salbiah berkata, bukti utama bahawa idea bernas daripada Dewan Belia adalah cadangan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang telah diangkat ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan ( MMK), seterusnya di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerjaya, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian Dewan Belia Perak, Mohd Adri Mohamad menyelar tindakan pembangkang yang tergamak mempertikaikan persidangan tersebut kononnya sekadar “window dressing” dan retorik semata-mata.

Katanya, sistem pemilihan ahli Dewan Belia Perak adalah berasaskan lapan golongan yang diselaraskan oleh kerajaan negeri, justeru ia meliputi setiap latar belakang dan peringkat umur.

“Kami tidak mempunyai kepentingan peribadi…semuanya untuk mengangkat masalah belia.

“Janganlah bersifat prejudis, mencari kesalahan dan tidak berpuas hati dengan apa sahaja yang kami lakukan, sedangkan ada negeri pembangkang lain turut mengambil inspirasi daripada Dewan Belia ini, jadi terbukti bahawa suara anak muda sememangnya amat diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan lebih berinovasi,” ujarnya.

Jelasnya, tuduhan liar daripada pembangkang yang mengatakan ketidakhadiran seramai 15 ahli Dewan Belia pada persidangan lepas menunjukkan mereka kurang minat adalah tidak benar kerana mereka mendapat pengecualian, kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, ahli Dewan Belia yang hadir dalam sidang media turut menjemput pembangkang untuk hadir ke persidangan akan datang untuk menilai isu dan permasalahan kritikal yang diutarakan.

Turut hadir memberikan pandangan mereka, Pengerusi Jawatankuasa Prasarana, Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar
Dewan Belia Perak,Muhammad Ariff Zaky Mohd Zolkafly dan Pengerusi Jawatankuasa Teknologi,Inovasi, Komunikasi dan Multimedia, Muhd Naim Al Amin Saharuddin.