IPOH – Dewan Belia Negeri Perak Perak meluluskan kesemua 15 usul yang dibentangkan serta dibahaskan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Belia Yang Kedua Negeri Perak yang berlangsung mulai 8 hingga 9 Disember 2018.

Exco belia negeri, Howard Lee Chuan How berkata, perkara berkenaan dilihat sebagai satu perkembangan yang baik dan menggambarkan kematangan hujah yang dibentangkan serta dibahaskan oleh semua perwakilan belia kali ini.

Menurutnya, kesemua perwakilan telah berjaya membentang, membahas dan mengulung kesemua usul dengan bernas.

“Tahniah kepada kesemua pembentang-pembentang usul dan kesemua usul yang telah diluluskan dalam dewan ini. Jumlah ini seperti yang kita lihat adalah dua kali ganda dari persidangan terdahulu.

“Lagi pun, ada beberapa perbahasan yang hangat dirasai dalam dua hari ini. Bukankah kali ini lebih menarik?” katanya pada sesi penggulungan petang tadi.

Tambah Howard, empat nilai yang menjadi asas kepada Dewan Belia iaitu realistik, didengar, bebas serta berkesan perlu dinilai semula demi memastikan tujuan pembentukannya dicapai.

Malah katanya, tujuan untuk memastikan input belia dimasukkan ke dalam pembentukan dasar kerajaan dan menjadi platform kepada suara belia agar lebih didengari pada masa hadapan.

“Usul-usul yang dibahaskan ada yang mengandungi idea yang cemerlang. Ada juga idea yang cemerlang yang timbul luar dari usul semasa perbahasan.

“Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) perlu mengkaji kesemua perbahasan supaya idea-idea cemerlang ini boleh dikumpulkan untuk pelaksanaan. Tetapi ada juga usul yang kurang sesuai untuk pelaksanaan.

“Pasak juga perlu mengkaji masalah pelaksanaan dengan jabatan berkenaan dan menasihati pencadang tentang kesukaran yang akan ditemui kelak,” katanya.

Howard Lee turut memuji inisiatif mempromosikan persidangan kali ini menerusi media sosial.

Katanya, menerusi media sosial, golongan belia di luar akan mengetahui kewujudan Dewan Belia ini.

“Melalui siaran langsung, kita dapat melihat melalui komen-komen yang dilontarkan oleh belia-belia menerusi platform media sosial ini. Selain itu, semua usul yang dibawa boleh diikuti rapat bagi memenuhi aspirasi kehendak belia di seluruh negeri.

“Usul yang menerima undi tertinggi melalui undian talian secara langsung adalah Usul No 4: iaitu Prakarsa Memapankan Pendidikan Dalam Kalangan Anak-Anak Gelandangan oleh perwakilan Dewan Belia (DB)33, pembentangan usul yang menerima tontonan terbanyak adalah usul No 2: Membantu Sektor Pertanian, Penternakan dan Hasil Laut Bagi Membuka Peluang Kepada Ekonomi Belia Negeri Perak oleh DB12 manakala Pembahas Terbaik dan menerima undi tertinggi adalah perwakilan DB 03.

“Difahamkan juga, peratusan viewer video bagi persidangan Dewan Belia kali ini meningkat berbanding sebelum ini,” katanya.

Sementara itu Howard Lee berharap agar kesemua usul yang diluluskan di Dewan Belia kali ini akan layak untuk dibawa kepada pembentangan di hadapan Exco Kerajaan Negeri dengan dibentangkan sendiri oleh perwakilan belia.

Bagaimanapun katanya, kesemua cadangan dan perancangan ini ianya memerlukan kerjasama dan sokongan dari semua pihak kerana ia memerlukan pengorbanan, baik dari segi kewangan dan idea daripada semua pihak yang terlibat.

“Pasak juga akan mengkaji cadangan-cadangan kecil yang dicadangkan di luar usul yang ditimbukan daripada perbahasan.

“Jika didapati bersesuaian dan boleh dilaksanakan tanpa melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), Pasak akan terus melaksanakan cadangan ini secara langsung.

“Pasak juga akan berusaha untuk mencadangkan satu draf perlembagaan bagi Dewan Belia pada masa hadapan dengan mengesyorkan bahawa peraturan Dewan Belia memiliki peraturan yang lebih mantap,” katanya – sinar