IPOH: Sidang Dewan Negeri Perak yang berlangsung pada hari kedua kecoh dengan perbalahan antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dengan wakil pihak kerajaan.

ADUN Changkat Jering itu dilihat tidak menggunakan peluang berbahas Bajet 2017 Perak, sebaliknya menyerang dan menghentam dasar dan kepimpinan negeri dan negara.

Dalam perbahasannya, Nizar menyarankan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan barisan Exco supaya mengisytiharkan harta mereka sebagai mana yang dilakukan oleh kepimpinan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau mendakwa ini kononnya bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat telus berhubung harta sebenar yang dimiliki Menteri Besar dan barisan Exconya.

Nizar turut membangkitkan isu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang kononnya tidak mencerminkan sebuah institusi pengajian tinggi yang berteraskan kepada ilmiah, tauhid dan agama Islam.

Beliau mendakwa, masyarakat rasa tertipu apabila pihak universiti mengesahkan USAS adalah Intitut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sedangkan pengumuman asal adalah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Tindakan Nizar yang lebih kepada melontar tuduhan melulu mendapat celahan bukan sahaja daripada wakil-wakil kerajaan malah Speaker Dewan, S. Thangeswari yang memintanya menumpukan perbahasan kepada bajet.

Wakil rakyat Changkat Jering akhirnya dilihat gagal memanfaatkan peluang yang diberikan kepadanya untuk membahaskan bajet itu .