IPOH – Langkah kerajaan negeri melantik tujuh tokoh sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Perak (SEAC) dilihat mampu menggalakkan pelaburan ke negeri ini.

Presiden Dewan Perlombongan Bumiputera Negeri Perak, Datuk Musa Nordin berkata, langkah berkenaan secara keseluruhannya menggambarkan bahawa kerajaan negeri serius dalam merencanakan hala tuju baharu ekonomi negeri ini ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Menurutnya, langkah berkenaan juga dlihat dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kita menyambut baik dasar ini yang telus dan terbuka. Perak adalah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber asli yang tidak ternilai harganya.

“Bagaimanapun, aktiviti yang melibatkan sumber asli ini perlu dikendalikan dengan cara yang betul dengan mengutamakan faktor kelestariannya,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyarankan agar kerajaan negeri memperkasakan semula kewujudan Pentadbir Tanah Negeri (PTG) agar ia selaras dengan 12 daerah sedia ada di sekitar negeri.

Katanya, di semua daerah berkenaan, telah wujud Pegawai Daerah yang turut melaksanakan tugas selaku pentadbir tanah dan pemungut hasil.

“Kita mempunyai dasar dan undang-undang sumber mineral yang baik serta berkesan, tetapi perlombongan adalah satu pelaburan yang berisiko tinggi yang mengambil masa agak lama bagi mendapatkan pulangan.

“Selain itu, projek perlombongan memerlukan modal yang besar serta teknologi yang tinggi. Kebanyakan pelombong pula adalah syarikat dari luar negara dan bagi menarik pelaburan yang besar ke negeri ini, dasar dan perundangan yang lebih moden dan telus mirip kepada peraturan dan amalan antarabangsa adalah sangat penting,” katanya.

Musa yang juga Pengerusi Eksekutif Syarikat Kuari Batu Emas berkata, Enakmen Mineral Negeri (Perak) 2003 (SME) yang digunakan pada hari ini bagi menarik pelaburan selain memperkemaskan pengawalan aktiviti-aktiviti perlombongan di negeri ini.

Katanya, SME juga mempunyai peruntukan bagi pembentukan Jawatankuasa Sumberi Mineral Negeri (JSMN) yang melibatkan PTG dan pegawai agensi teknikal lain seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan sebagainya.

“Jawatankuasa ini dijangka dapt berperanan menentukan pengurusan mineral negeri dilaksanakan dengan cekap dan telus dalam menaik pelaburan,” katanya.