IPOH: Dewan Perniagaan India Perak (PICC) mahu menambah bilangan ahli selepas mereka menang dalam kes saman terhadap Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) baru-baru ini.

Presidennya, K. Seven Munusamy berkata, buat masa ini terdapat hanya 500 ahli yang berdaftar dengan PICC sedangkan bilangan usahawan kaum India di negeri ini kira-kira 26,000.

Menurut beliau, bagi menarik lebih ramai ahli, pihaknya akan menganjurkan pelbagai program keusahawanan di seluruh negeri.

“Selain itu, kami juga akan memperhebatkan program di daerah-daerah supaya ramai lagi yang menjadi ahli,” katanya dalam sidang media di pejabat PICC di sini pada Jumaat.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2 Mei lalu telah memutuskan penggantungan keahlian PICC dengan MAICCI yng dibuat oleh gabungan itu melalui surat bertarikh 14 November 2016 adalah tidak sah dan batal.

Sambil menyambut baik keputusan itu, K. Seven berkata, ia akan membolehkan pihaknya memperhebatkan lagi aktiviti demi meningkatkan lagi sosio-ekonomi usahawan India di negeri ini.