KUALA LUMPUR : Sesi perbahasan Dewan Rakyat hari ini gamat dengan isu abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang dibawa pulang ke negara ini dua bulan lalu.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit mendesak satu tindakan diambil terhadap pembawanya, kerana didakwa kurang sensitif, selain kebimbangan sama ada ia satu cubaan menghidupkan idealisme komunis ke negara ini.

Sebaik mula sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Shahidan Kasim (BN-Arau) ketika diberi peluang berbahas, bangkit mempersoalkan mengapa begitu mudah abu mayat itu dibawa masuk ke negara ini.

Beliau juga menyifatkan, mereka yang membawa abu mayat berkenaan, tidak sensitif dengan sentimen rakyat terutama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berhempas pulas menentang komunis dulu.

Ia membangkitkan celahan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PAS, sehingga mengundang suasana hangat dalam Dewan Rakyat.

Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) ketika mencelah mempersoalkan motif abu mayat berkenaan dibawa pulang pada 16 September lalu, yang juga hari ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Hari Malaysia.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) ketika mengambil alih perbahasan selepas itu, berkongsi kisah kekejaman komunis yang membunuh rakannya.

“Saya baru berumur 24 tahun…masuk hutan, lima tahun dalam hutan. Saya membesar dalam hutan. Jadi saya melihat bagaimana kawan mati dan melihat orang awam mati dibunuh (komunis).

“Tak payah baca sejarah…saya sendiri lihat. Kita rasa sedih ada pihak hendak mendewa-dewakan perjuangan komunis dan mendewakan ketua perjuangan komunis ini yang membawa satu gegaran di negara ini,” katanya.

Kenyataan Junaidi itu menyentuh perasaan Ramli Mohd Noor (BN-Cameron Highlands), yang bangkit menzahirkan rasa kesalnya dengan pihak terbabit kerana tidak mengendahkan perasaan orang lain.

“Sebagai bekas pegawai polis, apakah perasaan peribadi Santubong apabila melihat abu mayat Chin Peng…kepala mayat komunis dibawa balik ke negara kita. Saya rasa nak menangis,” katanya sambil menahan sebak.

Pada sesi perbahasan sama, pandangan diutarakan M Karupaiya (PH-Padang Serai) seketika menggamatkan dewan, selepas beliau secara peribadi menyokong usaha berkenaan.

“Pandangan saya abu itu tidak ada masalah pada kita. Benda itu sudah habis dah. Kalau kita bawa pun, tak bermakna pada kita.

“Kita sebagai rakyat Malaysia, kita hormati walau dia musuh. Kita bagi penghormatan sebab dia lahir di negara kita, itu saja,” katanya.

Sebelum Dewan Rakyat berhenti rehat, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) antara yang bangun mencelah mahukan satu tindakan dibuat kerajaan kerana membiarkan abu mayat itu dibawa masuk.

“Minta (pihak berkuasa) ambil tindakan kepada pihak yang bawa masuk abu mayat itu,” tegasnya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta di kawasan banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.