KUALA LUMPUR: Maahad tahfiz di Wilayah Persekutuan (WP) sukar dikawal selia bagi menjamin aspek kebajikan dan keselamatan pelajar kerana tiada peruntukan perundangan untuk berbuat demikian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata kerajaan menyedari kelompangan perundangan sedia ada, justeru beberapa pindaan perlu dibuat untuk melonjak kualiti maahad tahfiz.

“Kalau ada masalah maahad tahfiz di peringkat negeri, pihak berkuasa iaitu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) ada kuasa untuk tutup dan kawal selia jika perlu.

“Bagaimanapun, masalah di Wilayah Persekutuan ialah kita tiada peruntukan perundangan untuk berbuat demikian, termasuk dalam mengarahkan penutupan mana-mana maahad tahfiz.

“Oleh itu, kita usulkan pindaan perundangan berkaitan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jalaluddin membangkitkan keperluan kerajaan untuk memastikan setiap maahad tahfiz di negara ini berdaftar dengan agensi pengelola berkaitan supaya aspek keselamatan, kebajikan dan kualiti pendidikan pelajar berupaya dijamin.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), pindaan akta yang dibangkitkan Fuziah bagi memperkasa usaha kawal selia maahad tahfiz berada pada kedudukan ketiga, hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2018 berkenaan dijangka dibacakan untuk kali kedua, dibahas dan diluluskan oleh Dewan Rakyat – Berita harian