SUNGKAI: Masyarakat Orang Asli di RPS Jernang menerima berita gembira apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM 100,000 bagi pembinaan dewan terbuka di kampung tersebut.

Permintaan terhadap dewan terbuka itu disuarakan sendiri oleh Tok Batin, Nasir Bah Mandong yang mewakili masyarakat Orang Asli RPS Jernang.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kemudahan dewan itu bakal memudahkan penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Kita dalam kerajaan negeri Perak dan kerajaan Malaysia tidak pernah membezakan, sejak dahulu lagi saya berjalan merata tempat dalam perkampungan Orang Asli baik dari Batang Padang sampai ke Sungai Siput, Perak Tengah dan Gerik.

IMG-20170722-WA0066

“Apa pun yang orang cakap pasal pembangunan Orang Asli kita ambil contoh di RPS Jernang mungkin ada orang persoalkan seperti Kerajaan tak ambil tahu… kerajaan ambil tahu, mungkin kita perlu buat kerja lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat Orang Asli di RPS Jernang, Sungkai pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr. Zambry memberi pengiktirafan kepada pasukan sofbol yang terdiri dari anak-anak Orang Asli di sini sehingga mendapat kejayaan di peringkat Kebangsaan.

Insentif bernilai RM 10,000 diberikan kepada pasukan sofbol dengan harapan mereka meraih lebih banyak kejayaan dari segi pelajaran dan permainan.