Oleh: Aida Aziz

suaraperakeditorial@gmail.com

KEHILANGAN orang tersayang juga kemurungan berpanjangan menjadi antara sebab mengapa ada di antara peserta Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) menghabiskan waktu siang mereka di pusat itu. Mereka berkumpul setiap hari, kecuali Sabtu dan Ahad, ibarat satu keluarga besar.

Di sebalik senyuman yang terukir pada wajah warga emas itu, tentunya tidak dapat lari dari kisah pahit yang menuntut mereka agar bersabar dalam menghadapi takdir hidup. Mendengar sendiri perjalanan hidup beberapa orang ahli PAWE di UTC Ipoh, memberikan gambaran bagaimana pusat itu berjaya mengembalikan keriangan serta menyuntik semangat untuk meneruskan sisa hidup yang berbaki.

Sembuh Kelukaan di PAWE

A.Sundarry

A.Sundarry, 63, ketika ditemui Suara Perak mengakui dia meratapi pemergian suami yang meninggal dunia secara tiba-tiba, yang menyebabkan emosi dan tingkah lakunya tidak stabil dan mengalami kemurungan hampir dua bulan.

“Dia (mendiang suami) tempat saya bergantung harap, ke mana sahaja kami bersama, bayangkan hampir 40 tahun sebagai suami isteri, dia pergi secara tiba-tiba dalam keadaan saya yang belum sedia untuk kehilangannya. “Hampir dua bulan saya menangis, terlalu banyak kenangan mengenainya di rumah, walaupun anak-anak ada di sisi bagi sokongan tetapi saya masih meratapi kehilangan suami,” ujarnya.

Bagaimanapun cerita sedih Sundarry menghampiri titik noktah apabila salah seorang anak perempuannya menemukan maklumat berkaitan kewujudan PAWE di Ipoh, lantas mencadangkan dia ke sini. “Mulanya saya agak keberatan untuk datang dan mendaftar di PAWE, anakanak yang bagi dorongan, beberapa hari di PAWE saya mula dapat semangat baru, lebih-lebih lagi penyelia yang begitu memahami dan memberikan nasihat.

“Perubahan diri saya juga disedari oleh anak-anak, sehinggakan mereka bertanyakan pada saya apa yang membuatkan diri begitu ceria dan bersemangat setiap hari. “Jawab saya mudah, ramai kenalan di PAWE dan aktiviti pun sangat menarik,” katanya yang mempunyai dua orang cahaya mata perempuan.

Guna Perkhidmatan Grab ke PAWE

Memandangkan kedua-dua anaknya bekerja sepenuh masa, seorang sebagai doktor perubatan, manakala seorang lagi doktor haiwan, Sundarry membuat keputusan untuk membahagikan sebahagian waktu di PAWE, dengan itu masa senggangnya tidak terbatas hanya di rumah.

“Bermacam-macam cara anak-anak lakukan untuk buat saya gembira, termasuk membawa saya melancong ke luar negara, namun keadaan saya tetap sama. Siapa sangka kegembiraan itu muncul semula dengan penyertaan di PAWE.

“Selalunya dalam jam 8 pagi, saya akan bersiap dan guna perkhidmatan Grab ke PAWE, lebih selamat dan anak-anak pun memberi kebebasan untuk saya luangkan masa bersama kawan-kawan,” katanya yang gemarkan aktiviti senamrobik dan gubahan bunga.

Isi Masa Pencen di PAWE

Bagi pesara dari hospital swasta, Halimatun Saadiah Mohd Salleh, 59, penyertaan sebagai ahli PAWE dalam beberapa tahun dahulu adalah sesuatu yang tidak dijangka. “Saya tidak tahu pun ada pusat seperti ini di Perak, kebetulan datang ke UTC temankan anak untuk temuduga kerja, dalam waktu menunggu saya tertarik dengan aktiviti yang dilakukan di PAWE.

“Tanpa buang masa, saya masuk ke dalam dan berjumpa dengan penyelia, terus daftar sebagai ahli, rasa seronok sangat bila dapat buat aktiviti dengan kawan-kawan, hilang rasa sunyi berbanding hanya terperap di rumah,” kata Halimatun yang sebelum ini bertugas sebagai tukang masak.

Tambahnya, rutin harian ketika bekerja menjadikannya kekok apabila tidak melakukan sebarang aktiviti, sehubungan itu PAWE menjadi rumah keduanya berkongsi pandangan serta program bersama ahli lain. “Saya sudah biasa dengan persekitaran ramai kawan sejak di hospital lagi, daripada duduk di rumah bermurung dan memikirkan hal-hal yang merumitkan otak, lebih baik bersantai di sini, ada pelbagai kelas seperti masakan dan kelas agama,” katanya yang turut mendapat sokongan suami.

Bukan Pusat Jagaan Orang Tua

Noorwati Mohamed Ari

Sering disalahtafsir sebagai pusat jagan harian orang tua, Noorwati Mohamed Ari selaku penyelia PAWE UTC Perak berkata, pusat itu berperanan untuk melibatkan warga emas dalam aktiviti dan program mengikut kesesuaian umur masing-masing.

“Selama saya bertugas di sini dalam tempoh lima tahun, memang ada keskes yang saya dengar dari ahli PAWE sendiri, saya mendengar apa jua keluhan yang disampaikan mereka sambil saya memberikan nasihat.

“Ada juga kes ahli PAWE yang mendapat tahu dia menghidap kanser, dia datang dengan rasa kecewa dan putus asa tetapi saya cuba sedaya upaya tenangkan dirinya, alhamdulillah dia beransur pulih dan sihat sehingga kini,” kata Noorwati. Dalam pada itu, Noorwati meletakkan harapan supaya ada pihak sudi menyumbangkan dari segi penempatan yang lebih luas bagi menggerakkan aktiviti warga emas.

“Kami menumpang di bangunan Jabatan Pembangunan Wanita jadi agak terhad pergerakan, agak sempit untuk lakukan aktiviti terutama kecergasan setiap pagi, harap ada pihak yang sudi menambahbaik keadaan bagi keselesaan warga emas di sini,” katanya.