SAMA ada ianya hanya satu mitos atau kisah benar, lagenda kezaliman Raja Bersiong meminum darah manusia sentiasa menarik perhatian peminat sastera dan sejarah tanah air.

IMG-20160331-WA0002Kisah raja keempat daripada keturunan Merong Mahawangsa ini cukup sinonim dengan Baling Kedah, iaitu kawasan yang terletak bersempadan dengan Perak di sebelah tenggara, yang dikatakan mendapat namanya bersempena peristiwa Raja Bersiong memulas keluar kedua-dua siongnya kerana tidak tahan menderita sakit gigi dan membaling siongnya jauh ke suatu tempat yang kini dikenali sebagai Baling.

Disebalik lagenda ini, dikatakan terdapat sambungan rentetan daripada episod Raja Bersiong bertindak melarikan diri dari istana di Lembah Bujang, Kedah ketika cuba mengelak dikepung menteri dan rakyat yang membencinya tabiatnya yang gemar makan bayam bersama kuah darah manusia.
Ketika melarikan diri Raja Bersiong telah singgah di Perak yang mana kawasan itu kini dikenali sebagai Kota Raja Bersiong Ijok, Selama.

Persinggahan di Ijok

Sebelum itu, masih ingatkah dengan filem Melayu klasik sekitar tahun 1968 lakonan Ahmad Mahmud, Sarimah dan Nor Azizah. Di dalam filem ini, Raja Bersiong digambarkan sebagai seorang yang dahagakan darah gara-gara kecuaian tukang masaknya menitiskan darah ke dalam masakan.

Sebenarnya, pengkisahan mengenai Raja Bersiong ini mempunyai beberapa versi berikutan rentetan kisahnya disampai secara lisan dari mulut ke mulut.IMG-20160327-WA004

Sebagaimana terkenalnya kewujudan Baling dengan peristiwa Raja Bersiong, ramai kalangan kita yang masih kurang arif tentang kewujudan Kota Raja Bersiong di Mukim Ijok, Selama. Siapa sangka kisah Raja Bersiong yang begitu sinonim dengan negeri Kedah boleh melangkaui sehingga ke Perak.

Penggembaraan Raja Bersiong Ke Perak

Diceritakan persinggahan Raja Bersiong ke Ijok, Selama adalah untuk berlindung daripada diburu menteri dan rakyat Kedah Ketika membuat persinggahannya di sini, Raja Bersiong bersama pengiring setianya telah membina tempat berlindung.

“Mengikut cerita yang saya dengar dari orang tua-tua di sini, sewaktu Raja Bersiong singgah di gua berhampiran kawasan ini taringnya sudahpun dibuang di Baling. Beliau mengembara ke sini sebab mahu larikan diri daripada rakyat di Kedah.

IMG-20160331-WA0005Kononnya di sini dahulunya merupakan tempat Raja Bersiong bersemayam, ada meja, kerusi, pinggan mangkuk dan bermacam lagi. Dikatakan juga di gua ini terdapat banyak pinggan mangkuk hasil tinggalan raja tersebut. Namun sudah tertanam di dalam gua,” kata seorang daripada penduduk kampung Abu Osman Ahmad, 75, atau dikenali dengan Pak Long Abu.

Pak Long merupakan antara penduduk terawal yag mula menetap di kampung itu pada tahun 1968.

Menurut penduduk kampung di sini juga, terdapat beberapa kisah mistik yang menguatkan lagi kaitan cerita tentang kewujudan Raja Bersiong di kawasan terbabit. Ada sesetengah penduduk di situ mendakwa terdengar bunyi riuh rendah di waktu malam seakan-akan ada orang sedang menumbuk lesung.

IMG-20160331-WA0006Ali Mohd Radzi, 71, lebih mesra disapa Pak Teh memberitahu berlakunya kejadian pelik berhampiran gua di Kota Raja Bersiong, sehinggakan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk membuat perkara khurafat seperti meminta nombor ekor dan sebagainya.

“Tempat bersejarah sebegini memang agak berbahaya dan ‘keras’, macam- macam cerita yang saya dengar seperti ada orang minta nombor ekor, ‘menurun’ dan sebagainya. Kononnya sesiapa yang datang dengan tujuan itu perlu bagi darah untuk santapan sepertimana kisah Raja Bersiong.

Itu zaman dahulu, tapi sekarang alhamdulillah perkara sebegitu sudah tiada berlaku di sini. Sebagai umat Islam kita memang tak mahu lihat perkara begitu berleluasa,” kata Pak Teh.

Kaji Tinggalan Gua

Disebalik ramai yang tahu akan kisah Raja Bersiong ini, masih ramai menganggap ianya sebagai lagenda yang tidak lebih dari sekadar mitos.IMG-20160331-WA0007

Ketua Kampung Redang Panjang, Roslan Bahari, 52, bagaimanapun mencadangkan agar ada pihak-pihak yang berminat menjalankan kaji selidik di kawasan gua itu.

Menurutnya beliau percaya kawasan itu sedikit sebanyak mempunyai kaitan sejarah dengan masyarakat Melayu purba ketika itu.IMG-20160327-WA006

Baginya pasti ada sedikit kebenaran walaupun yang lainnya mungkin ditokok tambah menerusi penceritaan dari mulut ke mulut sejak turun temurun lamanya.

Apa yang pasti, dia berharap ada di kalangan ahli sejarah sudi datang ke sini untuk melihat sendiri dan mencari gali khazanah yang mungkin tersembunyi.

“Diceritakan segala tinggalan raja itu terkambus disebabkan hakisan dan faktor masa. Buat masa ini memang tiada siapa yang berani buat pengalian di kawasan itu. Sebab ianya benda sejarah, mungkin ada pihak yang sanggup buat supaya kita dapat tahu apa sejarahnya,” katanya.

Beliau berkata hasil kajian itu nanti berkemungkinan mampu menaikkan kawasan kampung itu sebagai satu tarikan pelancong yang baru.

 

 

IMG_1651

Lagenda Raja Bersiong Berpotensi Dijadikan Produk Pelancongan

Jelas Roslan, terdapat lima rangkaian kampung yang terdapat di sekitar Kota Raja Bersiong itu dengan bilangan penduduk berjumlah 1,200 orang.

Daripada segi kemudahan pelancongan, terdapat sebuah homestay yang diuruskan RISDA.

“Di bawah pengurusan RISDA, sehingga kini ramai pelancong telah berjaya dibawa masuk ke kampung ini untuk melihat Kota Raja Bersiong. Harapan kami adalah untuk melihat pihak berwajib mengambil serius penjagaan kawasan sejarah ini kerana ianya adalah warisan Melayu,” katanya.

Tidak dinafikan catatan Hikayat Merong Mahawangsa dan Sastera Rakyat Negeri Kedah ada menyebut mengenai kisah Raja Bersiong ini namun sehingga kini tiada sesiapa yang dapat membuktikan dengan tepat atau mempunyai bukti fizikal peristiwa itu memang berlaku.

Walaupun begitu tidak salah untuk kita manfaatkan tinggalan sejarah ini dengan mengetengahkannya sebagai kawasan pelancongan supaya tapak ini menjadi terkenal sebagaimana kawasan pelancongan di Langkawi yang dikaitkan dengan kisah Mahsuri, Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah di Melaka yang kisahnya ‘hidup’ dan segar sehingga hari ini.