Nama: YB Aznel Ibrahim

Asal : Pengkalan Hulu.

Umur: 51

Nama isteri: Zarina Omar

Anak: 5 orang

Pendidikan:

– Sekolah Kebangsaan Kroh, Pengkalan Hulu 1970- 1976

– Sekolah Menengah Tun Saban sehingga 1978 kemudian Sekolah Menengah Teknik Alor Setar.

Pembabitan Politik

– Ketua Pemuda Cawangan Pengkalan Hulu 1989

– AJK Pemuda UMNO Bahagian Gerik 1990

– AJK UMNO Bahagian Gerik 1999

– Naib Ketua UMNO Bahagian Gerik 2008

– Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik 2013 hingga sekarang.

Tiada Batasan Untuk Rakyat Berinteraksi

WAJAHNYA selalu kelihatan serius. Sepintas lalu melihatnya, orang mudah mengatakan beliau sombong.

  Namun jika anda tanya kepada penduduk sekitar Pengkalan Hulu, Gerik, istilah sombong tidak ada dalam diari hidup orang bernama Aznel Ibrahim. Bagi mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu itu cukup peramah dan mudah dibawa bergaul.

  Dari golongan warga emas sehinggalah kanak-kanak, Aznel yang lebih mesra dengan panggilan Hj Nen, amat mudah didekati kerana sikapnya yang sering turun ke warung-warung rakyat atau premis-premis yang dekat dengan penduduk setempat.

  “Jangankan orang tua, kanak-kanak berusia tujuh tahun pun panggil saya Haji Nen jika terserempak di mana-mana. Saya selalu mahu mereka rasa saya menjadi sebahagian daripada keluarga mereka dan saya selesa begitu,’’ kata Aznel ketika ditemui Suara Perak baru-baru ini.

  Setelah dipilih sebagai wakil rakyat, Aznel meneruskan pendekatan sama, tetapi dengan kaedah yang lebih teratur seperti mengadakan program bersarapan bersama penduduk secara bergilir-gilir di setiap kampung.

DUN Pengkalan Hulu mempunyai 14 buah kampung

Aznel berkata, beliau akan mengadakan program bersarapan di warung yang terpilih bersama-sama penduduk pada setiap Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi.

  “Sambil bersarapan saya akan mendengar masalah yang dibawa penduduk dan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikannya sama ada diselesaikan di situ juga atau meminta mereka datang ke pejabat untuk tindakan seterusnya.

  “Selain di warung dan pejabat, penduduk kampung juga boleh datang menemui saya di rumah dan di pejabat atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya bertanyakan masalah mereka,’’ katanya.

 

 

Menurut Aznel lagi, pengalaman selama empat tahun menjadi Pengerusi Biro Kebajikan Parlimen Gerik di bawah kepimpinan bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang ketika itu menjadi wakil rakyat Pengkalan Hulu, memudahkan beliau untuk berurusan dan menyelesaikan masalah golongan  warga emas, miskin dan OKU di Pengkalan Hulu.

  Sebaik menjadi wakil rakyat pada 2013, beliau memberi fokus untuk menyelesaikan masalah tanah yang telah lama tertunggak terutama isu penerokaan tanah oleh penduduk kampung sejak awal tahun 70-an kerana kurang kefahaman tentang isu tersebut.

  “Contohnya, tanah-tanah yang mereka terokai sejak tahun 70-an, mereka mengharapkan kerajaan akan memberi hak milik tanpa perlu memohon.

  “Ini kesilapan yang mereka hadapi,  jadi dalam tempoh empat tahun saya menguar-uarkan dengan memasukkan permohonan lebih 90 peratus tanah-tanah yang telah diusahakan penduduk sekitar tahun 2010,” ujarnya.

Beliau bersyukur setelah menjadi wakil rakyat Pengkalan Hulu lebih setahun, lebih 30 peratus daripada permohonan tanah itu telah diluluskan untuk diperakukan oleh kerajaan negeri yang membabitkan lebih 500 pemohon dengan keluasan tanah antara satu hingga empat ekar.

Bagi memberi kemudahan kepada rakyat, beliau menubuhkan Pusat Khidmat ADUN di pekan Pengkalan Hulu yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Aznel bersama kakitangan Pusat Khidmat ADUN Pengkalan Hulu yang sentiasa bersedia membantu rakyat.

Sebagai wakil rakyat, Aznel sentiasa bersedia mendengar masalah rakyat tanpa mengira tempat dan masa.