Ketika kebanyakan kes cabul yang dilaporkan adalah melibatkan golongan wanita, seorang pemandu Uber lelaki pula berdepan detik hitam selepas mendakwa dicabul oleh seorang remaja lelaki, Sabtu lalu.

Syed Rosli Syed Harman berkata kejadian berlaku pada pagi 12 Ogos lalu ketika dia dalam perjalanan menghantar penumpang lelaki terbabit dari Jalan Klang Lama menuju ke sebuah kondominium di Sri Petaling, lapor Malay Mail.

Ketika berada di lebuh raya Maju Expressway (MEX), penumpang terbabit yang duduk disebelahnya secara tiba-tiba meraba dan menyentuh kemaluan Syed Rosli.

Akibat tindakan tidak senonoh itu, Syed Rosli yang terkejut memarahi penumpang lelaki terbabit, namun suspek memberikan reaksi tidak bersalah seolah tiada apa yang berlaku.

“Dia sentuh alat sulit saya dan saya memarahinya, “apa yang kamu buat?”, namun dia hanya tersenyum.

“Tetapi saya tidak memanjangkan hal itu kerana berasa bimbang jika beliau menyimpan senjata. Saya terus memandu dan membawanya hingga sampai ke destinasi dan kemudian membuat laporan kepada Uber,” katanya memetik akhbar tersebut, kelmarin.

Syed Rosli yang juga Pengerusi Persatuan Pemandu Uber, Grab dan Zeppon turut menunjukkan rakaman kejadian yang dirakam menggunakan kamera papan pemuka.

Rakaman memaparkan tangan lelaki terbabit yang memakai baju T berwarna putih secara sengaja menjalar dan menyentuh kemaluan Syed Rosli, sebelum kelihatan mangsa menolak tangannya.

Syed Rosli memaklumkan tidak mempunyai maklumat berhubug penumpang terbabit, namun percaya pihak polis akan menghubungi Uber bagi mengenal pasti da menjejaki suspek.

Susulan itu, beliau membuat laporan di balai polis Sri Petaling dan juga akan memberi kenyataan lanjut kepada polis di ibu pejabat polis Kuala Lumpur.

-MD