PANGKOR: Dialek Melayu di Perak dilihat berhadapan dengan ancaman kepupusan akibat himpitan sejarah, penghijrahan dan sosio-budaya.

Pengaruh sistem persekolahan dan media sosial mempercepatkan lagi kepupusan dialek ini, ditambah dengan sikap generasi muda yang malu untuk menggunakan dialek tersebut.

Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dari Program Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Perak merupakan negeri yang banyak bersempadan dengan negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

“Beberapa daerah di Perak berlainan dialek yang digunakan seperti di Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Hulu Perak. Contohnya air dalam dialek tertentu disebut ayor dan ayaq, mereka jadi deme dan depa, kamu jadi mike.

“Tetapi dialek ini sudah semakin kurang digunakan dan dilebihkan bahasa baku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2017 (Pulara) di sini, hari ini.

Dr Nor Hashimah berkata, penggunaan dialek Melayu Perak semakin menipis dan hanya dituturkan oleh generasi tua dan dewasa memandangkan generasi muda beralih kepada bahasa baku.

“Anak-anak remaja semakin suka berbual dengan bahasa baku berbanding dialek, para penutur bahasa berkenaan boleh menjadi kurang cekap atau tidak mahir langsung.

“Konteks penggunaan bahasa natif itu sudah menjadi kurang dan hanya digunakan untuk berhubung dengan ahli keluarga serta rakan-rakan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kajian dialek di Perak wajar dipergiatkan untuk mengelakkan dialek itu tersimpan hanya sebagai bahasa yang pernah didengar tetapi tidak digunakan kelak.