IPOH, 5 Sept (Bernama) — Dialog Pangkor 2017 (PD 2017) kali keempat anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR), akan diadakan di Hotel Casuarina @Meru di sini selama dua hari mulai 11 Sept ini, bagi membincangkan isu berkaitan dengan pembangunan dan kemampanan sosioekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif IDR Dr Mazalan Kamis berkata persidangan bertaraf antarabangsa itu dijangka dihadiri kira-kira 1,200 peserta yang terdiri daripada pelbagai sektor, kumpulan sasaran termasuk pemimpin luar dan pemikir-pemikir akademik.

Beliau berkata PD 2017 yang bertemakan ‘Memacu Masa Hadapan: Landaan Inovatif Ke Arah Pembangunan Mapan’ itu mendapat kerjasama kali pertama daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) selain Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu akan disertai lebih 30 negara termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, Australia, India, Thailand, Filipina dan Afghanistan.

“Dialog Pangkor kali ini akan membincangkan sembilan sub tema iaitu ekonomi; pembangunan insan; alam sekitar; inovasi dan keusahawanan; perumahan; belia; penuaan dan pembangunan; waqaf dan wanita,” katanya dalam sidang media di IDR di sini hari ini.

Katanya, PD 2017 tahun ini juga menyasarkan untuk menerokai kepelbagaian inovasi dan penyelesaian terbaik bagi mencapai matlamat pembangunan mampan yang digariskan dalam Agenda 2030 dengan memfokuskan secara khusus untuk mengoptimumkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di peringkat subnasional yang memberi penekanan ke arah kemajuan serata.

“PD 2017 adalah satu platform yang bukan sahaja sebagai perkongsian kejayaan negara lain yang mempunyai keunikan dalam kecemerlangan pembangunan mereka malah ia sebagai satu platform perkongsian ilmu terutama bagaimana kita perlu seiring dengan kemajuan teknologi dan juga inovasi terkini.

Sementara itu, Mazalan berkata pembentang berpengalaman dari luar negara yang dijangka hadir antaranya ialah Angkasawan Wanita Amerika Syarikat, Dr Catherine Cady Coleman; Datuk Bandar Oklahoma Mick Cornett; Pengasas Honeybee Network India, Prof Dr Anil Gupta, bekas presiden Ecuador, Jorje Jamil Mahuat Witt dan pemegang rekod Dunia Paralimpik Singapura Dr Wiliam Tan.

“Harapan agar PD 2017 dapat menyumbang dalam memberikan gambaran yang lebih jelas serta pemahaman analisis dan juga daya tahan sosioekonomi dalam mengukuhkan kerajaan negeri sama ada di dalam Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa,”katanya sambil menambah penyertaan dalam talian \”http://www.pamgkordialogue\”>www.pangkordialogue “http://www.pamgkordialogue.com masih dibuka. Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat pada majlis pembukaan dan pelancaran PD 2017 pada Isnin depan, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga menganjurkan Perak Festival of Ideas (PFoI) yang akan diadakan sempena PD 2017, bermula esok hingga 12 Sept yang berlangsung secara serentak di 20 lokasi seluruh Perak. “Ia merupakan platform yang dapat mengumpulkan semua idea-idea bernas yang dapat direalisasikan mengikut ketetapan dan kesesuaian iaitu menterjemahkan idea-idea kepada tindakan.

“Kita menyasarkan 10,000 idea daripada pengunjung kempen ini. Setiap pengunjung yang hadir di lokasi acara akan diberikan gegantung yang telah dipotong berbentuk segitiga dan mereka boleh senaraikan idea yang ada dan idea berkenaan akan dikumpul serta dianalisis untuk dibentang kepada kerajaan negeri,” kata Mazalan.

Kira-kira 70 acara yang akan diadakan termasuk forum, pameran, konsert, bengkel, pesta makan dan belon udara panas yang terdapat di beberapa lokasi antaranya Bulatan Amanjaya, Kinta Riverfront, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, katanya.

— BERNAMA