PARIT: Polis menerima tujuh laporan berkenaan kes enam pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh di sini yang mendakwa dibuli 10 pelajar senior kerana sepasang kasut bola.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, susulan itu 10 pelajar tingkatan tiga dan empat sekolah tersebut telah dipanggil dan dirakamkan percakapan mereka.

Tambah beliau, pihak sekolah juga telah menggantung kesemua 10 pelajar tersebut kerana mendatangkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

“Kejadian berlaku pada 5 Mei lalu dan pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa sehari selepas kejadian.

“Ianya bermula dengan (senior) nak pinjam kasut bola tetapi tidak dibenarkan lalu mangsa dipukul oleh mereka (senior) semua.

“Kesemua mangsa didapati telah dibuli dan mengalami kecederaan seperti lebam di badan namun tidak serius malah mereka meneruskan pembelajaran seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini pada Khamis.

Tambah beliau, polis sedang dalam proses untuk mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan susulan.

“Kita memaklumkan perkara ini kerana kita tak mahu kes ini ditularkan dan ada pihak akan mengatakan kita tidak ambil tindakan.

“Kita ambil tindakan cuma kita tidak menguar-uarkannya kerana mereka ini remaja bawah umur,” jelas beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 kerana mendatangkan kecederaan.