DUA individu termasuk seorang kakitangan sebuah jabatan kerajaan negeri direman lima hari hingga Selasa depan, selepas ditahan berhubung kes meminta suapan sebanyak RM35,000.

Kedua-dua suspek termasuk seorang daripadanya dikenal pasti sebagai orang perantaraan atau runner, disyaki meminta rasuah daripada pengadu sebagai balasan untuk mengeluarkan geran tanah milik arwah ayah pengadu daripada ditahan di sebuah jabatan di Beaufort.

Majistret Afiq Agoes membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan reman difailkan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Faliq Basiruddin di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi.

Permohonan reman selama lima hari itu itu bermula hari ini, bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek berusia 46 dan 54 tahun itu ditahan pada antara jam 8.15 malam hingga 10.30 malam tadi, masing-masing di sebuah restoran di Beaufort dan Pejabat SPRM Kota Kinabalu, susulan aduan yang dibuat mangsa pada hari yang sama.

Berdasarkan fakta kes, semalam suspek yang berusia 46 tahun yang juga bekerja sendiri dipercayai bertindak sebagai orang perantara telah meminta sejumlah wang RM35,000 daripada mangsa sebagai balasan untuk mengeluarkan geran tanah milik arwah ayah mangsa daripada ditahan di Pejabat Tanah dan Ukur Beaufort.

Susulan itu, satu operasi perangkap dijalankan ke atas suspek dan siasatan lanjut mendapati kakitangan jabatan itu disyaki berpakat dengan suspek yang bertindak sebagai perantara untuk meminta suapan daripada mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 -metro