MIRI: Bekas jaguh pecut negara Watson Nyambek hari ini menafikan laporan yang dikatakan berita dan dikongsi menerusi laman sosial mendakwa beliau jutawan siling digital, Bitcoin.

Bekas pemegang rekod 100 meter kebangsaan itu berkata laporan tersebut adalah palsu dan dibuat dengan niat jahat untuk menipu mereka yang mudah percaya dengan skim cepat kaya.

“Ya, saya tahu tentang laporan berita yang tular menerusi Facebook dan itu adalah satu penipuan, jangan percaya,” katanya kepada Bernama, di sini.

Watson, 42, turut menafikan pernah ditemu bual dalam rancangan bual bicara yang dihoskan oleh pelawak terkenal Harith Iskandar bagi membincangkan tentang pelaburan bitcoin seperti yang didakwa dalam laporan itu.

Katanya beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis dan juga kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung berita palsu tersebut memandangkan ia melibatkan reputasinya.

“Buat masa ini saya belum putuskan bila akan buat laporan itu kerana saya faham bukan mudah untuk kesan dalang di sebalik penipuan ini,” katanya.

Berita palsu berbahasa Inggeris yang disiarkan menerusi https://localdaily-cc.com/effective-ways-for-avoiding-bankruptcy/ mendakwa Watson bebas daripada muflis dan menjadi jutawan segera selepas terlibat dalam perdagangan bitcoin automatik menerusi platform yang dikenali sebagai ‘Bitcoin Revolution’.

Laporan itu mendakwa Watson turut membuat demonstrasi pelaburan bitcoin menerusi rancangan bual bicara Harith dengan mendepositkan wang Harith sebanyak RM1,050 melalui platform tersebut dan dalam tempoh tiga minit pelawak berkenaan menerima keuntungan berjumlah RM2,012.

Berita palsu itu yang turut memaparkan foto Watson selain gambar Harith ketika mengacarakan program tersebut, mendakwa pelawak berkenaan membuat keuntungan tambahan sebanyak RM1,659.06 dalam tempoh lapan minit – mstar