SEORANG pemilik agensi pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang milik sebuah syarikat katering, berjumlah RM7,032.70, tiga tahun lalu.

Wong Sin Chong, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang syarikat PC Catering dengan mengeluarkan cek masing-masing bernilai RM2,200; RM2,876 dan RM1,956.70 daripada akaun bank syarikat ke akaun bank miliknya.

Ketiga-tiga perbuatan itu di lakukan di syarikat PC Catering di No 44, Jln 7/37, Taman Maluri, Kepong, masing-masing pada 17 April 2015, 16 Jun 2015 dan 3 Julai 2015.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam R Morhaneraj.

Terdahulu, Norashikin mencadangkan jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan, bagaimanapun Morhaneraj memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan selain mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 11 Jun ini – hmetro