Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman, hari ini, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta siasatan dijalankan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Dalam kenyataan berkenaan, Hamidah didakwa ditawarkan sejumlah wang sebagai rasuah kepada bekas pengasas PPBM itu untuk meninggalkan parti.

Syed Saddiq turut mengaitkan Hamidah secara tidak langsung dalam isu sogokan wang tunai sebanyak RM5 juta.

Hamidah berkata, laporan itu dibuat olehnya berikutan kenyataan yang dikeluarkan Sayed Saddiq dalam laman sosial Facebook semalam.

“Laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh SPRM. Saya tidak boleh mendedahkan secara terperinci laporan yang dibuat kepada SPRM kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan, cuma apa yang boleh saya katakana, ia adalah isu yang dilemparkan Syed Saddiq serta beberapa isu lain yang berkaitan.

IMG-20171003-WA0005

“Dengan siasatan itu, diharapkan ia akan dapat menegakkan keadilan dan membongkar kebenaran atas semua dakwaan yang dinyatakan Syed Saddiq,” katanya yang ditemui sebelum membuat laporan itu di pekarangan pejabat SPRM Perak di sini, hari ini.

Sebelum ini, dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di laman facebooknya semalam, Syed Saddiq turut mengaitkan nama Hamidah dan Anina Saadudin yang dibeli oleh individu tertentu menerusi satu kumpulan yang diistilahkannya sebagai “rangkaian sistematik dedak”.

Syed Saddiq mendakwa, rangkaian itu cuba mengumpannya dengan wang berjumlah RM5 juta yang akan digunakan untuk menyambung pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti Oxford di London.

Syed Saddiq turut mendakwa, individu terbabit yang juga orang kanan kepada seorang pemimpin tertinggi negara turut menawarkan kepadanya geran yang berjumlah jutaan ringgit untuk membuka sekolah debat di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Hamidah berkata, beliau tidak faham mengapa Syed Saddiq menjadikan beliau sasaran dalam banyak hal berkaitan PPBM.

“Saya tidak tahu apakah yang berlaku dan adakah apa yang dilakukannya atas arahan pihak tertentu. Suatu ketika dahulu, dia pernah kata saya ejen UMNO, kata saya hipokrit dan pengkhianat dan halau saya dengan perkataan ‘berambus’.

“Saya harus membersihkan nama saya dan tidak hanya perlu berpandu dengan cakap dia seorang sahaja; jadi saya ingin membuat laporan supaya kebenaran terserlah,” katanya lagi.