GERIK: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria akur dengan sistem perundangan negara dan akan lebih berhati-hati selepas ini dalam apa juga perkara berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kedua-dua pemimpin itu kesal dengan tindakan dilakukan mereka dan berjanji tidak akan mengulangi pelanggaran perintah yang dilaksanakan kerajaan itu.

Noor Azmi memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyokong dan mendoakannya.

“Saya akur dengan perundangan dan sistem kehakiman di negara ini, selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” kata Noor Azmi ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu bersama Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Gerik atas kesalahan ingkar PKP dalam satu majlis di Lenggong pada 17 April lalu.

Kedua-duanya bersama 13 lagi individu yang turut hadir di maahad tahfiz yang sama diperintahkan membayar denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.

“Saya akan teruskan perjuangan untuk berikan kesihatan yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” kata Noor Azmi.

Pada 18 April lalu, tular di media sosial gambar kedua-dua pemimpin itu sedang makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong ketika PKP dilaksanakan.

Tindakan mereka mengundang kecaman orang ramai yang meminta pihak berkuasa supaya tidak ‘memilih bulu’ dalam mengambil tindakan.