IPOH – Mendidik pelajar seperti anak sendiri, itulah prinsip yang dipegang Pengetua Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Rapat Setia, Datin Siti Zabidah Setia, 60, sejak dia memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik pada 17 Januari 1983.
“Saya sentiasa menyemai dan berpesan perkara yang sama kepada para guru yang bekerja bersama saya.
af8290e5-77b4-4d4c-a72e-a019a9046344
“Ini kerana jika kita prihatin terhadap anak murid sama sepertimana kita lakukan kepada anak-anak sendiri saya yakin ia akan membantu melancarkan proses pembelajaran,” kata penyandang anugerah Pengetua Cemerlang 2011 yang ditemui semasa majlis meraikan hari persaraan beliau di Dewan Seri Nilam, SMK Rapat Setia.
Ibu kepada lima orang cahayamata itu berkata antara kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang 35 tahun bergelar guru ialah ketika beliau ditugaskan sebagai pengetua ke SMK Simpang Beluru pada Januari 2007.
Dengan nama yang begitu asing dan tidak pernah didengar sebelum ini, beliau tekad menyahut cabaran memandu sejauh 42km sehala ke Kuala Kangsar dari kediamannya di Meru Heights, membelah kabus pagi.
“Sekolah ini ialah sekolah baru yang terletak di kawasan bukit dan dikelilingi kebun getah serta jauh dari perkampungan penduduk.
“Cabaran yang dihadapi  di sini dianggap sebagai satu peluang untuk saya membuat pelbagai perubahan dan penambahbaikan lantaran majoriti pelajar terdiri daripada bangsa Melayu.
“Alhamdulillah antara pencapaian terbaik ialah apabila SMK Beluru berjaya muncul sebagai Koperasi Terbaik 6 Bintang Malaysia, yang memberi kami peluang lawatan ke Beijing,” ujar penerima anugerah Pengetua Cemerlang pada tahun 2011.
Mengulas pencapaian beliau sebagai seorang guru, pengalaman berkhidmat selama 14 tahun di SM Jalan Silibin merupakan antara kenangan manisnya.
Katanya kejayaannya membimbing para pelajar sehingga sekolah itu mencipta nama dalam pertandingan pantun, berpidato dan mendeklamasi puisi memberi satu kepuasan dalam dirinya.
Antara kejayaan itu adalah mengalahkan SMK Raja Permaisuri Bainun dalam pertandingan pantun, menewaskan SMK Gunung Rapat dalam pertandingan berpidato di peringkat zon dan kemenangan SM Jalan Silibin yang bergelar juara daerah Kinta dalam pertandingan mendeklamasi puisi.
Pemegang Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1996 dan 2007  yang dirai dalam majlis yang cukup meriah oleh lebih 1,000 jemputan termasuk para pelajar, kakitangan, ahli keluarga dan sahabat di Dewan Seri Nilam di SMK Rapat Setia.
Turut hadir ialah wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Ketua Sektor pengurusan Sekolah Azmi Dahari.