IPOH – Kontinjen Futsal lelaki dan wanita Sabah ambil keputusan untuk menarik diri daripada mengambil bahagian di dalam pertandingan Sukan Malaysia ke-19 kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, danPembangunan Modal Insan , Howard Lee berkata, keputusan itu diambil oleh kontinjen Sabah selepas salah seorang daripada atlet wanita negeri itu yang bakal bertanding untuk acara futsal disahkan mengalami gejala mums (beguk).

“Sebelum ini satu ujian pengesahan diagnostik mumps telah dibuat ke atas seorang atlet wanita yang berumur 16 tahun, dukacita dimaklumkan keputusan ujian pengesahan itu didapati positif virus mumps.

“Kami telah bermesyuarat bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmmad Shapawi Ismail, wakil Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah dan wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, ketetapan sebulat suara adalah untuk memberi peluang bagi kontinjen futsal Sabah menukar atlet-atlet mereka untuk bertanding,”katanya pada satu sidang media khas di sini.

Namun Howard memberitahu walaupun peluang untuk menukar atlet itu telah diberikan, Kontinjen Sabah memutuskan untuk menarik diri dalam pertadingan futsal kategori lelaki dan wanita daripada SUKMA kali ini.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa dan risiko penularan virus berkenaan kepada pasukan-pasukan lain yang mungkin terjadi semasa bertanding nanti.

“Saya mewakili negeri Perak, apa jua yang berlaku selepas ini tidak kira siapa menang pingat emas untuk acara futsal lelaki atau wanita, juara sebenar adalah pasukan dari Sabah kerana walaupun ia keputusan yang amat pedih untuk dibuat, namun demi kepentingan semua pihak, mereka tetap mengambil keputusan itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu Jawatankuasa Khas Teknikal telah membuat keputusan untuk memberikan tiga mata dengan jaringan 3-0 kepada setiap pasukan yang berada di dalam kumpulan sama dengan kontijen futsal Sabah lelaki dan perempuan.

Pasukan berkenaan ialah Negeri Sembilan dan Melaka dari kumpulan C futsal perempuan dan Selangor, Perak dan Perlis dari Kumpulan A futsal Lelaki.

Daripada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak, pasukan futsal Sabah wanita dan lelaki merangkumi 36 orang iaitu 31 atlet dan lima orang pegawai. Daripada jumlah itu, seorang atlet wanita disahkan positif beguk, 11 atlet wanita dan lelaki lain pula mengalami gejala tidak spesifik dan disyaki dijangkiti virus beguk.

Manakala selebihnya pula walaupun tidka menglamai sebarang gejala namun mereka mempunyai sejarah close contact dengan kes disahkan beguk serta berpotensi untuk mendapat jangkitan dan menyebarkan kepada orang lain.

Kesemua mereka kini sedang dikuarantin di sebuah penempatan khas di Manjung sebelum pulang ke Sabah.