AMPANG: Seorang lelaki berusia 23 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Hulu Langat di sini, jam 5.30 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamed Kassim, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula sejak laporan diterima pada petang hingga malam, sebelum disambung semula jam 8 pagi tadi.

Katanya, operasi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Beliau berkata, pencarian diperluas hingga lingkungan lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut dengan tumpuan pada sekitar kawasan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) Kampung Berembang kerana mempunyai perangkap sampah.

“Keadaan arus sungai hari ini baik berbanding semalam yang sedikit laju dan menyukarkan pencarian.

“Kita berharap mangsa dapat ditemui hari ini,” katanya ketika dihubungi – berita harian