KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dilantik sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), komited untuk membantu kerajaan memajukan Bumiputera dan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli turut berterima kasih kepada kerajaan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin TERAJU.

“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Saya akan berusaha untuk membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera dan rakyat Malaysia,” katanya ringkas kepada BH, hari ini.

Mustapa dilantik sebagai Pengerusi TERAJU untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Disember 2019.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berkata, keputusan berkenaan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Mustapa berkata beliau mengetahui pelantikannya itu selepas dimaklumkan sendiri oleh Mohamed Azmin.

Mustapa berkata, beliau akan bertemu dengan Dr Mahathir bagi membincangkan lebih lanjut skop, peranan serta tanggungjawab yang harus dilaksanakannya.

Mustapa mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan, malah pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk tempoh 2009 hingga 2018.

Beliau turut menyandang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi tempoh 2008 hingga 2009, Menteri Pengajian Tinggi (2006-2008), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri Kewangan II (1998-1999), Menteri Pembangunan Usahawan (1995-1999) dan Timbalan Menteri Kewangan (1993-1995).

Beliau mengumumkan keluar UMNO pada September 2018 sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Oktober 2018.