SABAK BERNAM – Gara-gara bertanyakan bekas berisi makanan yang diletakkan di atas batu kubur mendiang bapanya hilang, seorang tukang rumah dilibas dengan sabit seorang suspek di sebuah jirat Cina berhadapan Taman Muhibbah, sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, 63, cedera pada bahagian kiri kepala selepas terkena libasan sabit yang digunakan suspek lelaki berusia 54 tahun.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menetap di Bagan Terap, datang melakukan upacara sembahyang dan membersihkan tanah perkuburan bapanya .

“Sebaik sampai, mangsa telah pergi ke tanah perkuburan ayahnya untuk membersihkan bersama ahli keluarganya.

“Mangsa kemudiannya meletakkan sebuah bekas makanan di atas batu kubur ayahnya dan dia bersama ahli keluarganya lain telah pergi ke tanah perkuburan pak ciknya yang terletak tidak jauh dari tanah perkuburan ayahnya,” katanya.

Nor Azmi memberitahu, selepas membersihkan tanah perkuburan bapa saudaranya, mangsa kemudiannya kembali ke tanah perkuburan bapanya, namun bekas makanan itu tiba-tiba hilang.

“Pada ketika itu, ada seorang lelaki di kawasan perkuburan itu.

“Mangsa bertanya kepada lelaki tersebut tetapi dia tidak mengaku mengambil bekas makanan terbabit,” katanya.

Nor Azmi berkata, mangsa kemudiannya mencari di sekitar kawasan perkuburan, tetapi masih tidak menjumpai bekas makanan berkenaan.

“Mangsa sekali lagi datang ke arah suspek dan bertanyakan hal yang sama, namun, suspek tiba-tiba naik angin lalu menghayun sebilah sabit dan terkena pada bahagian kiri kepala mangsa.

“Mangsa cuba mempertahankan diri dengan menggunakan sebuah basikal lama yang ada di kawasan perkuburan berkenaan.

“Pada ketika itu, suspek tersebut menggunakan sebilah parang dan cuba menyerang mangsa, bagaimanapun mangsa sempat melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menemui suspek yang turut mempunyai beberapa rekod lampau sebelum ini di sebuah balai raya kampung berhampiran.

“Polis turut merampas sebilah sabit dan parang yang digunakan di tempat kejadian.

“Hasil Ujian Air Kencing (Urin), suspek yang amat dikehendaki polis didapati positif dadah dan turut mempunyai beberapa kes rekod lampau sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

-SinarHarian