IPOH: Gara-gara cuba memberi rasuah RM600 kepada seorang pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang pemilik lori dan pemandunya dihukum penjara seminggu dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Hakim S. Indra Nehru turut memerintahkan S. Moorthy, 51 dan pemandu lorinya, V. Kumar, 57, menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan memberikan suapan wang tunai sejumlah RM600 kepada Pembantu Penguatkuasa JPJ, Azlee Ahmad sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori yang membawa lebih muatan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lumut – Ipoh, Seri Iskandar pada jam 10.30 pagi, 12 November 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Nurul Wahida Jalaluddin sementara Moorthy diwakili oleh T Ellangovan dan Manjeet Kaur mewakili Kumar.

Pertuduhan kes dijalankan di dalam mahkamah secara tertutup selepas hakim bersetuju menerima permohonan peguam tertuduh mengikut Sesyen 172C Kanun Prosedur Jenayah.