KUALA TERENGGANU: Dua sahabat termasuk seorang bekas anggota polis terpaksa merengkok di penjara selama tiga bulan selepas mengaku salah mencuri petai di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Saipul Rozman Romeli, 40, yang juga bekas anggota polis dari Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Nerus dan Mohd Faizal Ibrahim, 30, dari Kampung Lingai, Batu Rakit.

Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai buruh mengaku salah terhadap pertuduhan mencuri dan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Noradila mengarahkan hukuman berjalan dari tarikh hukuman dijatuhkan hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mencuri 96 keping petai di kebun milik Wan Ahmad Fadil Wan Mamat, 31, di Bukit Terap, Batu Rakit, kira-kira jam 5 petang Sabtu lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Saipul yang berbaju-T berbelang memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya dengan alasan mengalami patah kaki dan tulang rusuk.

Mengikut fakta kes, Wan Ahmad Fadil ke kebunnya pada petang kejadian sebelum ternampak seorang lelaki dikenali dengan nama Man sedang memungut dan mengikat petai di bawah pokok, manakala seorang lelaki masih berada di atas pokok petai.

Menyedari perbuatan mereka mencuri dihidu mangsa dan penduduk kampung itu, dua sahabat berkenaan kemudian cuba melarikan diri.

Namun, Mohd Saipul Rozman kemudian berjaya ditahan dan dibelasah penduduk kampung yang berang dengan perbuatannya menyebabkan dia mengalami patah kaki dan tulang rusuk.

Mohd Faizal kemudian ditahan oleh anggota polis kira-kira jam 6.15 petang di tepi jalan di Kampung Lingai dan turut merampas 96 keping petai – berita harian